Johor terus menjadi antara destinasi utama warga Singapura untuk melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, dengan ladang-ladang ternakan di negeri itu melaporkan peningkatan ketara dalam tempahan kambing dan lembu berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Fenomena itu dipacu oleh beberapa faktor termasuk kos lebih rendah, kemudahan pelaksanaan korban secara langsung, serta lokasi ladang yang strategik dan berdekatan dengan republik ini.
Bagi warga Singapura, pelaksanaan korban di Johor bukan sahaja menjimatkan, malah memberikan pengalaman ibadah lebih bermakna kerana mereka berpeluang memilih sendiri haiwan korban serta menyaksikan proses penyembelihan.
Presiden Kelab Muslim Myanmar Singapura, Encik Mohd Yusof Ismail, 60 tahun, berkata mereka telah melaksanakan korban di Arrayyan Farm di Senai sejak 2015.
“Setiap tahun kami datang ke sini. Ini menjadi sebahagian daripada acara masyarakat kami yang juga termasuk solat dan sambutan Hari Raya bersama.
“Kami belanjakan kira-kira RM6,000 ($1,821) bagi setiap lembu. Ia sangat berpatutan dan membolehkan kami melaksanakan ibadah secara fizikal, satu kelebihan besar,” katanya.
Tambahnya, kelab itu mewakili sekitar 500 keluarga Myanmar Muslim yang menetap di Singapura sejak tahun 2000.
Bagi penduduk Yishun, Encik Ithnin Omar, 67 tahun, beliau memilih untuk melaksanakan ibadah korban di Osman Goat Farm bersama isterinya, Cik Kamidah Sani, 61 tahun, selepas menunaikan solat Aidiladha di masjid berdekatan.
“Tahun 2024 kami buat di Batam, tapi pengalaman agak mengecewakan. Kali ini kami pilih untuk melakukan korban di Johor kerana prosesnya lebih bersih dan tersusun.
“Kami ambil dua bahagian daging untuk diri sendiri dan saudara mara di Johor. Kami tidak bawa balik ke Singapura kerana ingin raikan Aidiladha bersama keluarga di sini,” katanya.
Beliau menambah bahawa harga korban yang dibayar iaitu sekitar RM1,300 dianggap berbaloi dan mesra bajet.
Seorang lagi warga Singapura, Cik Sarahnisah Abd Rahman, 40 tahun, berkata ini adalah kali pertama beliau melakukan ibadah korban secara fizikal di Johor Bahru.
“Saya datang seminggu lebih awal untuk pilih kambing. Saya tahu tentang ladang ini pun melalui mak cik saya yang tinggal di Johor.
“Tahun 2024 saya buat korban secara dalam talian dan hanya terima sijil. Tahun 2025 saya nak rasakan sendiri proses tersebut. Di sini, dari ambil nombor giliran sampai selesai korban, semuanya dalam 45 minit. Sangat mudah dan bersih,” katanya yang tinggal di Woodlands.
Beliau memilih untuk bermalam di hotel berdekatan dan hadir ke ladang selepas menunaikan solat, bagi mengelak kesesakan trafik.
Menurut Pengarah Osman Goat Farm di Kangkar Tebrau, Encik Osman Cheya Kutty, ladangnya telah menjual lebih 1,200 ekor kambing pada 7 Jun lalu sahaja, dengan lebih 65 peratus pembeli terdiri daripada warga Singapura.
“Kami mula niaga pada 1991 dengan kerjasama Jabatan Veterinar. Kini kami ada dua ladang dengan jumlah lebih 2,700 ekor kambing.
“Setiap hari, kami beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam dengan bekalan daging segar. Harga kambing pula antara RM1,000 hingga RM1,800,” katanya ketika ditemui BH.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg