Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim memuji sikap ihsan masyarakat Islam Singapura yang bersedia mengagihkan lebih 10 tan daging korban dalam tin ke Gaza melalui inisiatif SalamSG.
Usaha kolektif itu mencerminkan komitmen golongan itu berkongsi rahmat dengan mereka yang memerlukan di luar negara, selain mengagihkan daging korban itu kepada mereka yang kurang bernasib baik di Singapura.
Bercakap kepada media selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Darul Makmur pada 7 Jun, Dr Faishal berkata beliau terharu dengan sikap masyarakat Islam Singapura, yang menunjukkan keprihatinan, bukan sahaja kepada rakyat Singapura, malah kepada penduduk di luar negara yang berdepan dengan krisis kemanusiaan.
“Kita akan memberikan sokongan kepada mereka di Gaza di mana lebih 10 tan daging akan disalurkan ke sana.
“Ini mencerminkan aspek di mana kita tidak lupa pada mereka yang memerlukan. Ini yang saya mahu bangunkan dalam kalangan masyarakat kita,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Bagi 2025, SalamSG menerima hampir 5,700 tempahan untuk menunaikan ibadah korban di luar negara, peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding 2024.
Dr Faishal berkata beliau tersentuh melihat masyarakat Islam Singapura yang menjalankan ibadah korban kerana telah bersedia juga untuk menyumbang kepada kemaslahatan penduduk di luar negara.
Menyifatkan masyarakat Islam Singapura sebagai masyarakat yang murah hati, Dr Faishal berkata beliau bangga dengan sikap ini dan ingin meneruskan usaha membangunkan sifat ihsan dalam kalangan masyarakat Islam setempat.
Memberi perkembangan terkini mengenai keadaan jemaah haji Singapura, Dr Faishal berkata mereka dalam keadaan baik dan sihat meskipun cuaca di sana amat panas.
“Alhamdulillah, mereka semua berada di Makkah dengan selamat dan mereka telah menunaikan ibadah mereka, wuquf di Arafah dan juga telah melakukan lontaran jamrah,” kata Dr Faishal.
Sebelum keberangkatan mereka, Dr Faishal berkata beliau telah berpesan kepada jemaah agar menjaga kesihatan dan saling membantu semasa menunaikan ibadah haji.
Masjid Darul Makmur, yang terletak di Yishun Avenue 2, membuka semula pintunya kepada jemaah pada 7 Jun sejak ia ditutup pada 24 April 2023 bagi kerja naik taraf secara besar-besaran.
Sepanjang penutupan masjid sepanjang dua tahun itu, tapak sementara telah dibuka di bekas Sekolah Menengah North View di Yishun Ring Road untuk menyediakan ruang bagi penduduk Islam di Yishun menunaikan solat Jumaat, tarawih, Aidilfitri dan Aidiladha.
Dengan pembukaan semula Masjid Darul Makmur pada 7 Jun, tapak sementara di Yishun Ring Road akan ditutup setelah solat Aidiladha berlangsung pada hari yang sama.
Pembukaan rasminya bakal diadakan pada Julai kelak.
Mengulas tentang pembukaan semula Masjid Darul Makmur, Dr Faishal, yang berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon dari 2011 hingga 2025 sebelum berkhidmat sebagai AP di GRC Marine Parade-Braddell Heights sekarang, berkata:
“Hari ini amat istimewa kerana saya kembali ke Nee Soon dan alhamdulillah, sambutannya sangat baik.
“Saya dapat lihat suasana gembira dalam kalangan penduduk di Nee Soon dan juga kemanisan melihat kerja keras kita semua, kerja naik taraf Masjid Darul Makmur berjalan dengan lancar.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg