KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah yang berpura-pura menjadi mangsa samun sekumpulan penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di Felda Chini Timur 1 di Pahang pada Mac lalu ditangkap kerana disyaki dalang sebenar jenayah itu.
Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata wanita berusia 27 tahun itu membuat laporan pada 20 Mac lalu mendakwa disamun oleh empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau ketika berada di rumah mentuanya di Felda Chini Timur 1.
Beliau berkata dalam kejadian tersebut suspek melarikan barangan kemas milik ibu mentuanya bernilai RM12,000 ($3,637).
“Siasatan awal mendapati wanita itu mendakwa dirinya disamun oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan pisau.
“Namun, siasatan lanjut mendapati dia sebenarnya merancang kejadian samun itu bersama rakannya untuk merompak barang kemas milik ibu mentuanya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor portal berita Free Malaysia Today.
Encik Zaidi berkata hasil jualan barang kemas tersebut digunakan digunakan wanita itu untuk membayar upah suspek lain dan melunaskan hutang ‘along’.
Katanya wanita itu dan lima rakan lelakinya yang berusia 27 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan berasingan pada 15 Mei lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.
Menurut Encik Zaidi ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk samun, dadah dan pecah rumah.
“Polis juga merampas beberapa barangan termasuk tiga telefon bimbit, seutas rantai leher dan gelang tangan, beberapa pakaian, sebilah pisau, kad bank serta dokumen pajak gadai,” katanya.
Encik Zaidi berkata semua suspek direman sehingga 23 Mei ini untuk siasatan lanjut kes samun bersenjata secara berkumpulan.
“Pada masa sama, suspek yang juga suri rumah turut disiasat atas dakwaan membuat laporan palsu,” katanya.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan seorang suri rumah bersama dua anak dan ibu mentuanya berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki empat perompak bersenjatakan pisau di Felda Chini Timur 1 pada 20 Mac lalu.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika suri rumah itu sedang tidur bersama dua anak dan ibu mentuanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg