PUTATAN (Sabah): Ternyata malang tidak berbau apabila seorang ibu maut, manakala anaknya putus kaki selepas dirempuh dan digilis kereta api dalam kejadian di landasan kereta api dekat Kampung Petagas, Putatan, Sabah, pada 19 November.
Dalam kejadian sekitar 1.30 tengah hari itu, mangsa – Allahyarham Lena Gabin, 41 tahun – meninggal dunia akibat dirempuh kereta api yang bergerak dari Stesen Putatan ke Stesen Tanjung Aru, di Kota Kinabalu, Sabah, manakala anak lelakinya berusia 11 tahun putus kaki dan cedera di kepala.
Difahamkan, mangsa dan anaknya itu sudah biasa berjalan kaki melintas landasan kereta api itu untuk menghantar dan menjemput anaknya ke sekolah berhampiran.
Sepupu kepada suami mangsa, Encik Adnan Mohd Said, 47 tahun, berkata memang menjadi rutin harian mangsa melalui kawasan berkenaan, namun tidak diketahui apa yang menyebabkan mangsa tiba-tiba dirempuh kereta api pada hari kejadian.
“Allahyarham memang hari-hari melintas landasan dengan berjalan kaki dari rumah di Kampung Muhibbah untuk mengambil anak bongsunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas.
“Setiap hari saya nampak arwah lalu di depan rumah dan memang selalu bertegur sapa apabila berjumpa,” katanya, lapor Harian Metro.
Sementara itu, seorang saksi kejadian berkata beliau hairan apabila melihat kereta api itu tiba-tiba berhenti ketika melalui landasan di hadapan Kampung Petagas, sebelum ternampak ada orang dirempuh kereta api.
Beliau, yang dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan ke Kampung Petagas, segera menghampiri dan membantu anak mangsa yang parah.
Menurutnya beliau juga ternampak jasad ibu kanak-kanak itu di bawah kereta api, sebelum orang ramai kemudian datang membantu disusuli pasukan perubatan yang membawa kedua-dua mangsa ke hospital.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.58 tengah hari.
Katanya pasukan bomba menjalankan pembersihan di lokasi kejadian dan mengeluarkan mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kampung Petagas terletak di pertengahan antara Stesen Kereta Api Putatan dengan Stesen Tanjung Aru, dan kereta api biasanya melintas pada kira-kira 1 petang dan bergerak laju di laluan berkenaan.
Ketika ini, hanya ada jejantas melintasi jalan utama menghubungkan Pekan Petagas dan Kampung Petagas, namun tiada jejantas pejalan kaki melintasi kawasan landasan kereta api.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg