Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu pijak muka, jerut leher anak dengan tali hanya kerana alat solek

Dec 17, 2025 | 2:57 PM
Dera anak, seremban, malaysia
Seorang juruwang wanita dihukum penjara tiga bulan di Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Disember atas tuduhan menganiaya anak perempuan berusia 11 tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal Oktober lalu. - Foto hiasan BHM

SEREMBAN: Seorang juruwang wanita dihukum penjara tiga bulan di Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Disember atas tuduhan menganiaya anak perempuan berusia 11 tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal Oktober lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan 16 Disember dan tertuduh turut diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas bebas daripada penjara.

Tertuduh juga perlu menyempurnakan bon berkelakuan baik cagaran RM1,000 ($316) dengan seorang penjamin dan jika gagal membayar cagaran, tertuduh boleh dipenjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan kepala dan lengan kanan di sebuah rumah dekat Lobak di sini, pada 5.30 pagi, 29 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengikut fakta kes, mangsa memberitahu guru dia dipukul ibunya di rumah sebelum dihantar ke sekolah pada hari kejadian.

Difahamkan, mangsa dipukul dengan pisau dan cedera di belakang cuping telinga, selain ditolak ke lantai dan mukanya dipijak.

Tertuduh juga turut menjerut leher mangsa dengan tali sebelum melepaskan jerutan.

Mangsa dipercayai dipukul kerana dituduh mengambil alat solek di dalam bilik.

Terdahulu, peguam Jabatan Bantuan Guaman, Cik Hanis Anisah Jamiludin, yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasi, berkata tertuduh yang bekerja sebagai juruwang mempunyai dua anak dan berpendapatan RM1,000 sebulan manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Cik Hanis Anisah berkata tertuduh adalah pesakit mental dan bergantung pada ubat selain mempunyai sejarah cubaan bunuh diri.

“Kejadian itu disebabkan tertuduh gagal mengawal kemarahan terhadap mangsa dan menyesali perbuatannya serta sangat rindukan anak-anak.

“Tempoh pemenjaraan panjang akan memburukkan kesihatan mentalnya dan tiada jaminan kondisi mental tertuduh akan bertambah baik,” katanya, yang memberitahu keluarga membuat akujanji bagi memastikan tertuduh makan ubat dan sentiasa dipantau.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira hubungan tertuduh sebagai ibu yang sepatutnya melindungi anaknya.

“Namun, tertuduh menganiaya mangsa sehingga mendatangkan kecederaan dan memberi kesan emosi jangka panjang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg