Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu Syed Saddiq maafkan orang yang zalimi, aniaya anaknya

Jun 25, 2025 | 2:07 PM
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. - Foto HARIAN METRO

PUTRAJAYA: “Bagi mereka yang menganiaya anak saya, saya hanya mendoakan supaya Allah memberi hidayah kepada mereka.”

Dengan linangan air mata kesyukuran, ibu kepada Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 25 Jun meluahkan rasa leganya selepas anaknya dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan oleh Mahkamah Rayuan.

Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, dalam nada sebak, berkata tempoh lima tahun yang dilalui anaknya itu bukanlah satu masa yang sekejap, sebaliknya penuh dengan cabaran dan dugaan.

“Sebagai seorang ibu, lima tahun itu bukan sekejap, dengan penuh cabaran, penuh dugaan, tapi syukur alhamdulillah, Saddiq sentiasa di hatinya apa yang dilakukan kerana Allah dan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, di sini, pada 25 Jun, lapor Harian Metro.

Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak bersalah, sekali gus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ($3.02 juta) yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Sharifah Mahani mengakui sebagai seorang ibu, hatinya sering berdebar dan ada kalanya terdetik untuk meminta anaknya berhenti daripada dunia politik yang disifatkan begitu sukar.

“Kadangkala ingin berkata kepada anak, ‘Sudahlah, janganlah buat lagi. Jangan masuk politik kerana keadaan susah sangat. Ramai tak bekerjasama.’

“Tapi syukur alhamdulillah, Saddiq dikelilingi oleh orang-orang yang menyayanginya. Semangatnya kuat untuk rakyat, semangatnya kuat untuk Malaysia, tak kira apa bangsa dan agama,” katanya.

Beliau turut menitipkan doa kepada mereka yang didakwa telah menganiaya anaknya.

“Bagi mereka yang menganiaya anak saya, saya hanya mendoakan supaya Allah memberi hidayah kepada mereka.

“Hidup ini sementara, bukan selama-lamanya. Jangan aniaya orang lain. Kelak balasannya bukan di akhirat, di dunia lagi. Namun saya maafkan mereka atas penganiayaan yang dilakukan ke atas anak saya dan keluarga,” katanya.

Sharifah Mahani juga berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjuangan anaknya.

“Ingat, kita semua manusia biasa. Kami semua sayang anak, sayang dia dididik dan marilah sama-sama beri kerjasama agar tanggungjawabnya dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Sementara itu, bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff, turut menzahirkan rasa syukurnya terhadap keputusan mahkamah.

“Saya sebagai orang tua, kita serahkan, kita bertawakal dan betul-betul berdoa.

“Alhamdulillah, hari ini hakim-hakim sudah dalam keputusan yang sungguh tepat. Saya sebagai orang tua bersyukur alhamdulillah dan anak saya terus akan berjuang,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq bersama ibu bapanya dilihat melakukan sujud syukur sejurus keluar dari kamar mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg