PETALING JAYA: Seorang ibu yang sebelum ini mengaku salah menganiaya anak lelakinya berusia 16 bulan dengan memberi susu yang dibancuh dengan dadah menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Mac.
Tertuduh, suri rumah berusia 34 tahun mengubah pengakuan berkenaan ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Cik Noor Ruzilawati Mohd Nor, yang mana ketika prosiding pada 28 Februari lalu, mahkamah menetapkan 13 Mac untuk fakta kes dan jatuh hukum bagi wanita itu.
Suami wanita berkenaan berusia 40 tahun kekal dengan pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan semula pada 13 Mac.
Mengikut tuduhan, kededuanya bersama-sama didapati melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka berusia 16 bulan dengan memberi susu bercampur air yang mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan bayi itu mengalami alleged sympathomimetic drug ingestion.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pangsapuri di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, pada 6 petang 19 Februari lalu.
Berikutan itu tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 ($14,248) atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Cik Noor Ruzilawati kemudian menetapkan 10 Mei ini bagi sebutan semula kes kedua-dua tertuduh, selain status laporan perubatan pada tarikh yang sama.
Pada 28 Februari lalu, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.
Sebelum ini, media melaporkan seorang bayi lelaki dikejarkan ke hospital selepas ibunya tersilap membancuh susu bayi menggunakan cecair syabu dalam kejadian di Taman Medan.
Pada hari kejadian bayi berkenaan berada di bawah jagaan neneknya berusia 55 tahun di Seri Kembangan, Selangor dan wanita itu pelik dengan perubahan cucunya yang menjadi terlalu aktif dan sukar dikawal, sebelum mengetahui bayi itu terminum susu syabu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg