Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi nyaris maut minum susu syabu di Selangor

Feb 26, 2024 | 12:55 PM
Seorang bayi berusia 16 bulan nyaris terbunuh selepas ibu bapanya yang khayal dadah membancuh susu dengan cecair syabu.
Seorang bayi berusia 16 bulan nyaris terbunuh selepas ibu bapanya yang khayal dadah membancuh susu dengan cecair syabu. - Foto hiasan BERITA HARIAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang sedang khayal akibat pengambilan dadah hampir menyebabkan kematian bayi lelaki mereka selepas tersalah membancuh susu dengan cecair syabu.

Kejadian berlaku di kediaman pasangan terbabit di sebuah rumah pangsa dekat Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Shahrulnizam Jaafar@Ismail, berkata polis menerima maklumat kejadian selepas menerima aduan daripada pihak Hospital Kajang, Selangor, pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata kejadian menimpa bayi lelaki berusia 16 bulan itu disedari nenek bayi berkenaan yang menjaganya pada hari kejadian.

“Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit menghantar bayi mereka untuk dijaga neneknya yang tinggal di Seri Kembangan, Selangor, dan ketika dalam jagaan wanita berusia 55 tahun itu, bayi itu tidak berhenti menangis.

“Bayi itu juga menjadi terlalu aktif dan sukar dikawal, menyebabkan wanita itu bertanya kepada ibu bayi berkenaan punca cucunya itu berkelakuan pelik.

“Ibu bayi itu kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada 25 Februari.

Susulan itu, Encik Shahrulnizam berkata pihaknya menahan suami isteri terbabit, masing-masing berusia 34 dan 40 tahun di kediaman mereka pada 20 Februari lalu untuk membantu siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.

“Semakan mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Bayi malang terbabit kini berada dalam pemantauan pihak Hospital Kajang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kata Encik Shahrulnizam kededua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Syabu adalah dadah jenis perangsang yang bertindak ke atas sistem saraf pusat. Ia adalah sejenis dadah sintetik yang dihasilkan melalui tindakan bahan kimia dan pengambilannya boleh menyebabkan penagihnya rasa tidak mengantuk, tidak lapar ataupun letih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg