Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu tuntut jawapan selepas keluarga diarahkan turun pesawat AirAsia X di Changi.
Ibu tuntut jawapan selepas keluarga diarahkan turun pesawat AirAsia X di Changi.
Ibu tuntut jawapan selepas keluarga diarahkan turun pesawat AirAsia X di Changi.
KUALA LUMPUR: Seorang ibu meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa keluarganya diarahkan turun dari pesawat di Lapangan Terbang Changi, Singapura, pada 26 Mei lalu, menyusuli isu penggunaan kerusi khas pesawat untuk anak perempuannya yang menghidap cerebral palsy kuadriplegik.
Menerusi perkongsian di Facebook (FB), Syarifah Ella Wan Wahab berkata beliau, suami, tiga anak kecil, dan pembantu rumahnya telah selesai melalui semua prosedur - daftar masuk, imigresen, dan malah sudah pun berada di dalam pesawat.
Berdasarkan pemeriksaan Berita Harian, beliau menetap di Johor Bahru. Syarifah Ella memberitahu BH beliau dan keluarganya merancang pulang ke Kuching, Sarawak untuk sambutan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga dan memilih berangkat dari Lapangan Terbang Changi menggunakan AirAsiaX kerana harga tiket yang menarik.
Namun, kru darat dan kru kabin kemudian memaklumkan bahawa juruterbang telah membuat keputusan untuk membatalkan kebenaran penggunaan kerusi khas itu.
“Kerusi khas ini sudah mendapat kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan kami sudah memaklumkan kepada kakitangan ketika daftar masuk di Changi.
Malah, mereka dimaklumkan sepenuhnya tentang keadaan anak saya yang lumpuh akibat cerebral palsy,” jelas Syarifah Ella.
“Mereka telah bertanya tentang umur, berat anak, berat kerusi, dan status perubatannya, sebelum membenarkan kami menaiki pesawat. Justeru, kami menyangka tiada masalah timbul,” katanya lagi dalam hantaran tersebut.
Syarifah Ella menegaskan, anaknya pernah menggunakan kerusi khas yang sama pada banyak penerbangan domestik dan antarabangsa, malah dengan syarikat penerbangan ini, tanpa sebarang masalah.
Anaknya disahkan sihat untuk terbang, ditemani ibu bapa, dan keadaannya terkawal dengan peralatan sokongan yang lengkap.
“Saya menghormati hak mutlak juruterbang dalam menentukan keselamatan, tetapi saya kecewa dengan cara insiden ini dikendalikan,” ujar beliau.
“Kami tidak diberikan penjelasan yang jelas mengenai isu keselamatan atau operasi sebenar; sebaliknya, kami hanya diberitahu bahawa ‘itu polisi syarikat’.”
Beliau mendesak jawapan: “Apakah sebenarnya isu keselamatan itu? Adakah ia berkaitan kerusi tersebut atau keadaan perubatan anak saya?”
Beliau juga mempersoalkan ketiadaan sebarang usaha perbincangan atau mencari penyelesaian alternatif sebelum keputusan tegas untuk mengarahkan keluarganya turun daripada pesawat dibuat.
Sementara itu, AirAsia X memaklumkan bahawa mereka sedang melakukan semakan menyeluruh terhadap polisi dan prosedur penggunaan kerusi khas keselamatan kanak-kanak, susulan insiden tersebut.
Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti, Kapten Saravanan Subramaniam, menjelaskan keputusan ketika itu dibuat berdasarkan keperluan keselamatan penerbangan, khususnya tentang kesesuaian kerusi yang dibawa untuk digunakan di dalam pesawat.
Beliau mengakui syarikat memahami perbezaan jangkaan keluarga tersebut, terutamanya berdasarkan pengalaman perjalanan mereka sebelum ini bersama AirAsia X.
“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Walaupun kami memahami kekecewaan dialami keluarga terbabit, keputusan dibuat selaras dengan keperluan keselamatan serta prosedur operasi yang berkuat kuasa ketika itu.
“AirAsia kini menyemak semula polisi dan prosedur berkaitan kerusi khas keselamatan kanak-kanak bagi memastikan garis panduan lebih jelas serta pelaksanaannya lebih konsisten pada masa depan,” katanya sambil menegaskan sudah berhubung dengan keluarga berkenaan untuk tindakan lanjut.
Kapten Saravanan menasihatkan, bagi penerbangan akan datang, penumpang digalakkan mengemukakan dokumen dan pensijilan kerusi keselamatan kanak-kanak bagi tujuan kesesuaian penggunaan di dalam pesawat.
“Ini termasuk penumpang orang kurang upaya (OKU), bagi melancarkan proses penilaian dan kelulusan sebelum jadual pelepasan,” tambahnya.
