Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tertuduh tembak bekas isteri di KLIA mohon rundingan pengakuan bersalah

May 19, 2025 | 2:30 PM
tembakan di KLIA
Gambar pada 25 Februari menunjukkan Hafizul Hawari yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kelantan atas tujuh tuduhan termasuk memiliki senjata api pada April 2024. - Foto BERNAMA

SEPANG (Selangor): Seorang pengurus agensi pelancongan membuat permohonan rundingan pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Mei atas tuduhan cuba membunuh bekas isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April 2024.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika prosiding perbicaraan hari pertama membabitkan tertuduh, Hafizul Hawari, 39 tahun, di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Raja Zaizul Faridah berkata pihaknya dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Hafizul untuk memasukkan permohonan rundingan pengakuan bersalah terhadap kedua-dua tuduhan dihadapinya.

“Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan, namun pihak pendakwaan dimaklumkan oleh peguam tertuduh untuk memasukkan tawaran pengakuan bersalah. Pihak pendakwaan akan meneliti tawaran dimohon pembelaan ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Justeru, Raja Zaizul Faridah memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan tawaran dimohon tertuduh.

Mendengar perkara itu, Hakim Ahmad Fuad menetapkan 17 Julai ini bagi mengetahui status permohonan itu.

Ketika prosiding pada 19 Mei, pendakwaan dikendalikan Raja Zaizul Faridah bersama Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, manakala Hafizul diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Encik Muhammad Syafiq Mohamad Lazim.

Sebelum ini, bapa tujuh anak itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap bekas isterinya, Cik Farah Md Isa, 38 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Encik Mohd Nur Hadith Zaini, 38 tahun, dengan menggunakan senjata iaitu pistol yang boleh menyebabkan kematian.

Encik Mohd Nur Hadith adalah pengawal peribadi bekas isteri tertuduh.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA di sini, pada 1.09 pagi, 14 April 2024.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada 24 Februari lalu, Hafizul dihukum penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, selepas mengaku bersalah terhadap tujuh tuduhan termasuk memiliki senjata api.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizul yang mengaku bersalah terhadap semua tuduhan berkenaan.

Dalam insiden 1.20 pagi 14 April 2024, Hafizul didakwa melepaskan tembakan ke arah bekas isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki yang juga pengawal peribadi kepada wanita berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg