Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imam, guru antara 14 disyaki pengikut Millah Abraham didakwa di Mahkamah Syariah Johor

Aug 6, 2024 | 4:52 PM
Seramai 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor, pada 6 Ogos.
Seramai 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor, pada 6 Ogos. - Foto SINAR HARIAN

BATU PAHAT (Johor): Seorang imam dan guru penolong kanan ialah antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor, pada 6 Ogos atas tuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua tuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas semua tuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.

Semua tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 ($1,482) bagi setiap tuduhan dikenakan dengan dua penjamin, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, kesemua tertuduh dibawa ke mahkamah dengan menaiki van Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) dengan dikawal ketat anggota penguat kuasa dan polis.

Suasana di perkarangan mahkamah agak sesak dengan kehadiran lebih 50 individu dipercayai keluarga kepada 14 tertuduh, bagi mendengar tuduhan terhadap kumpulan terbabit.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam operasi khas di beberapa daerah di Johor, termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian, pada 1 Ogos lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Millah Abraham sebelum dibawa ke jabatan agama untuk disoal siasat.

Sebelum itu, JAINJ mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.

Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai turut cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat di Johor.

Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara fahaman salah ajaran sesat Millah Abraham ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baru dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg