PASIR GUDANG: Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) telah mematahkan usaha menyebarkan ajaran sesat, Millah Abraham, di negeri itu.

Mengesahkan JAJ ada menerima laporan polis berkaitan ajaran sesat Millah Abraham di negeri itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khaled, berkata pihaknya turut mendapat taklimat daripada cawangan khas Bukit Aman berhubung ajaran tersebut.

“Kita sudah tahu pergerakan mereka dan kita juga ambil maklum mereka cuba memasuki negeri ini. Tetapi yakinlah kepada kepimpinan di bawah portfolio agama dengan seluruh kekuatan JAJ.

“Kita akan membasmi ajaran sesat ini, yang cuba menyelewengkan kita, dengan memastikan mereka tidak akan bertapak di Johor,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Mohd Fared berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kemahiran Menjahit MAIJ, di Pasir Gudang, Johor.

Pada 10 Julai, tiga anak-beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di dua rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Encik Ahmad Zaki Hamzah, berkata hasil siasatan awal mendapati mereka juga dipercayai cuba menyebarkan ajaran sesat itu kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri tersebut.

Ajaran itu difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Antara fahaman salah ajaran itu ialah ahlinya percaya sembelihan bukan ahli kumpulan itu tidak sah, ada nabi baru dan ada syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan agama Yahudi, Nasrani dan Islam dan menghuraikan ajaran Al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Encik Mohd Fared berkata pergerakan pengikut Millah Abraham sudah dalam pemantauan dan JAJ akan memastikan ia dapat dipatahkan.

Beliau menambah perkara membimbangkan pihaknya kini ialah penyebaran ajaran sesat itu di sosial media.

“Kita tidak bimbang dengan penyebaran secara berdepan kerana ia boleh dipatahkan. Yang kita risau ialah penyebaran di alam maya menerusi media sosial. Ini yang perlu kita kekang dan kesedaran orang awam adalah lebih penting.

“Kalau kerajaan halang pun, bagilah taklimat macam mana sekali pun, tetapi tuan-tuan dengar menerusi YouTube dan TikTok, itu pun kurang baik juga.

“Nasihat saya, benda yang pelik-pelik ini kita tinggalkan, tidak ada benda yang senang, kata tak ada Tuhan, kata tak payah sembahyang, pakai niat sahaja. Bohong semuanya,” katanya.