Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imigresen banteras sindiket seludup warga Bangladesh nyamar sebagai atlet

Oct 7, 2024 | 2:15 PM
Sebahagian 18 warga Bangladesh ditahan dengan lengkap memakai jersi kononnya atlet yang hadir ke Malaysia untuk acara sukan.
Sebahagian 18 warga Bangladesh ditahan dengan lengkap memakai jersi kononnya atlet yang hadir ke Malaysia untuk acara sukan. - Foto IMIGRESEN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Warga asing menggunakan modus operasi baru dengan menjadikan penganjuran acara sukan sebagai taktik untuk menyusup masuk ke Malaysia sebelum dipercayai bekerja secara haram.

Taktik itu dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia dengan tertangkapnya 21 warga Bangladesh termasuk tiga anggota sindiket dalam operasi khas di Taman Maluri, dekat Cheras pada 4 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing, dalam kes ini dari Bangladesh, dengan menyamar sebagai atlet yang mana warga asing terbabit turut kenakan pakaian sukan.

Beliau berkata ia terbukti apabila pihaknya turut menemukan surat jemputan bagi menyertai pertandingan sukan berserta jadual pertandingan di Malaysia yang dipercayai palsu ketika serbuan pada 10.38 pagi pada 4 Oktober.

“Siasatan mendapati sindiket ada menempah tiket pulang ke Bangladesh, selain turut menempah bilik penginapan di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kadar bayaran dikenakan sindiket kepada setiap warga asing terbabit adalah antara RM2,000 ($610) hingga RM5,000 seorang, dengan sindiket dipercayai sudah beroperasi selama empat bulan,” katanya.

Datuk Zakaria berkata hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan menahan tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai sebagai anggota sindiket.

Dua daripada mereka memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala seorang lagi sudah tinggal lebih masa.

“Kita turut menahan 18 lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 33 tahun di lokasi sama,” katanya.

Semua warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg