JOHOR BAHRU: Warga Singapura adalah antara lebih 200 warga asing pelbagai negara yang gagal lolos keluar menerusi dua pintu keluar masuk Malaysia di Johor, selepas ditahan Jabatan Imigresen.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata tangkapan itu susulan langkah jabatan tersebut memperketatkan kawalan dan penguatkuasaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.
Beliau berkata semua yang ditahan dalam operasi dijalankan oleh Unit Penguat Kuasa dan Keselamatan BSI dan KSAB pada 14 dan 15 Ogos itu didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia, tinggal lebih masa, serta menggunakan atau memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara palsu.
Menurut Datuk Mohd Rusdi, melalui operasi di BSI, ia menahan 169 warga asing, selain 19 warga tempatan atas pelbagai kesalahan.
Warga asing yang ditahan di BSI membabitkan 43 warga Indonesia, Myanmar (33), Bangladesh (22), Pakistan (18), Singapura (14), China (10), India (lapan) dan Vietnam (empat).
Selain itu, tiga warga Thailand dan Kemboja ditahan; dua dari Nepal, Mesir dan Korea; serta seorang warga Iran, Syria, Nigeria dan Algeria.
“Dalam operasi di KSAB pula, seramai 80 warga asing dari pelbagai negara termasuk Singapura, China, Bangladesh, Indonesia, India dan Italy telah ditahan.
“Imigresen turut mengeluarkan kompaun terhadap 88 warga asing di pintu masuk berkenaan,” kata Datuk Mohd Rusdi, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut beliau, kesemua warga asing dan warga tempatan yang ditahan kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan.
“Seramai 19 warga tempatan yang ditahan didapati membenarkan imigran haram untuk masuk atau tinggal di mana-mana premis selain menghalang pegawai imigresen dalam menjalankan tugas mereka.
“Imigresen Johor sentiasa menjaga kedaulatan dan keselamatan negara serta memperketatkan lagi kawalan terutama di pintu-pintu masuk negara bagi mengekang isu pendatang asing tanpa izin (Pati).
“Jabatan ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berpotensi memberi ancaman pada keselamatan negara,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg