Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imigresen Johor gempur setinggan, 104 warga asing ditahan

Sep 29, 2025 | 2:31 PM
Imigresen Johor,  warga asing ditahan, pendatang asing tanpa izin
Antara pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan yang dipercayai menetap di kawasan setinggan berhampiran tanah perkuburan sekitar Johor Bahru. - Foto JABATAN IMIGRESEN NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU: Seramai 104 warga asing ditahan dalam operasi besar-besaran Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor di sekitar bandar Johor Bahru, awal pagi 28 September.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi bermula 2 pagi itu membabitkan seramai 121 pegawai penguat kuasa dengan bantuan tiga pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata operasi berkenaan digerakkan hasil risikan serta aduan awam mengenai kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dipercayai menetap di kawasan setinggan berhampiran tanah perkuburan.

“Dalam serbuan mengejut itu, puluhan warga asing terkandas selepas kawasan terbabit dikepung sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 September.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dan 44 perempuan dewasa warga Indonesia, tiga kanak-kanak lelaki serta enam kanak-kanak perempuan warga Indonesia, selain seorang wanita dewasa warga Filipina. Kesemua tahanan berusia antara dua bulan hingga 63 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati ramai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau tinggal melebihi tempoh. Semua mereka kini ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” kata Datuk Mohd Rusdi.

Beliau menegaskan operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan menangani isu pencerobohan warga asing yang boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan sosioekonomi tempatan.

Dalam kes berasingan, Imigresen Johor turut melancarkan Ops Gegar pada 27 September lalu yang menyasarkan dua premis hiburan di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, operasi yang bermula 11 malam itu berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pengurus premis.

Pemeriksaan lanjut mendapati 17 warga asing bekerja tanpa dokumen sah, terdiri daripada empat lelaki Bangladesh, empat lelaki Indonesia dan sembilan wanita warga China berusia 18 hingga 44 tahun.

Mereka dipercayai diupah sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan. Kesemua tahanan turut dibawa ke Depoh Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Datuk Mohd Rusdi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi Pati atau menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Kami berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat, dan mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam usaha memelihara keselamatan serta integriti negara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg