JOHOR BHARU: Seramai 29 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi penguatkuasaan di tiga pusat hiburan di Pontian pada 30 Julai.
Serbuan bermula kira-kira 12 tengah malam itu dijalankan oleh 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor menerusi ‘Ops Gegar’ yang menyasarkan premis hiburan di sekitar daerah ini.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata seramai 69 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah diperiksa dalam operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 17 wanita warga Vietnam; 11 wanita warga Indonesia; serta seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 18 dengan 40 tahun.
“Mereka dipercayai menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Ogos.
Turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia di premis terbabit kerana disyaki melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
Menurut beliau, warga asing terbabit disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah; Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta Seksyen 56(1)(l) kerana memiliki dokumen perjalanan atau permit palsu.
Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, dan Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas yang telah ditetapkan.
“Tiga warga tempatan pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.
JIM Johor turut mengeluarkan 17 notis hadir ke pejabat kepada pihak tertentu bagi membantu siasatan. Semua yang ditahan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Datuk Mohd Rusdi menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam membanteras Pati serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan, pemilik premis atau individu yang didapati menggajikan atau melindungi mereka.
“JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan dan memerangi aktiviti menggajikan atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg