Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja tanpa permit: Imigresen Johor tahan 37 warga asing, majikan tempatan

Aug 18, 2025 | 2:18 PM
Seramai 63 individu diperiksa oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, yang menyaksikan 37 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Seramai 63 individu diperiksa oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, yang menyaksikan 37 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. - Foto ihsan JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA NEGERI JOHOR

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menahan seramai 37 warga asing dan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis dalam satu operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Selera dan Ops Sapu di sekitar Johor Bahru pada 15 Ogos.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi itu disertai 40 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan negeri, hasil risikan serta aduan awam mengenai kegiatan warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas yang sah di premis tersebut.

“Dalam pemeriksaan ke atas 63 individu, seramai 13 lelaki dan 10 perempuan warga Myanmar, lima lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki serta enam perempuan warga Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan berusia antara 21 dengan 60 tahun. Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan kerana melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Ogos.

Menurut beliau, tahanan warga asing disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal di negara itu selepas pas atau permit tamat tempoh.

Kes turut disiasat di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial. Manakala pemilik premis tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

“Sepanjang operasi ini, sebanyak enam notis hadir dikeluarkan kepada beberapa individu lain untuk membantu siasatan. Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Datuk Mohd Rusdi menegaskan, Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memperkasa penguatkuasaan bagi membanteras warga asing tanpa izin dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Majikan dan pemilik premis yang menggajikan atau melindungi Pati akan dikenakan tindakan tegas.

“Pada masa sama, Jabatan Imigresen menyeru Pati yang layak supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang sedang berlangsung mulai 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 bagi pulang ke negara asal secara sukarela,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg