KUALA LUMPUR: Hasil risikan selama enam bulan, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur berjaya membongkar sindiket pengemis didalangi warga Pakistan yang memperalat kanak-kanak serta wanita.
Ia membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah kedai di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, kira-kira 9 malam 25 Jun menerusi Operasi Selamat (Op Selamat).
Wartawan Berita Harian Malaysia (BHM) yang menyertai serbuan berkenaan mendapati sindiket terbabit berselindung di sebalik tiga perniagaan iaitu kedai aksesori telefon, kedai dobi serta kedai potong rambut.
BHM difahamkan sindiket ini turut mengekploitasi kanak-kanak untuk aktiviti mengemis dengan dibawa oleh pengemis dewasa mengemis di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India dan Jalan Sentul bagi meraih simpati awam.
Mereka dikatakan dihantar oleh sindiket ke lokasi mengemis seawal 8 pagi dan hanya akan dihantar pulang antara jam 8 hingga 11 malam.
Namun apa yang lebih memeranjatkan, kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengemis itu disyaki diberikan ubat batuk agar mereka tidur dan tidak aktif semasa dibawa bersama untuk mengemis.
Taktik tersebut terbongkar selepas pasukan serbuan menemukan beberapa botol ubat batuk di bilik-bilik sewa didiami mereka dalam serbuan itu.
Bilik sewa terletak di tingkat dua bangunan rumah kedai empat tingkat terbabit dan dipercayai dijadikan penempatan untuk warga asing disyaki dari Pakistan, Indonesia dan India oleh sindiket terbabit.
Mereka perlu membayar kadar sewaan RM800 sebulan ($230) dan didiami kira-kira lapan orang dalam satu bilik kecil termasuk kanak-kanak.
Selain itu, melalui serbuan ini juga berjaya membongkar kegiatan sindiket itu dalam menghasilkan pasport palsu selepas pemeriksaan Imigresen di ruang pejabat dalam kedai menjual aksesori telefon menemukan puluhan pasport asing dengan cop disyaki palsu.
Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, serbuan itu hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan yang dilaksanakan pihaknya sejak awal Januari lalu.
Beliau berkata keseluruhan 80 individu termasuk seorang lelaki tempatan dan selebihnya warga asing berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun ditahan dalam operasi yang berakhir pada 12 malam itu.
“Mereka terdiri daripada 77 warga Pakistan iaitu 44 lelaki dan 22 wanita dewasa serta empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
“Selebihnya, masing-masing seorang lelaki tempatan, wanita Indonesia dan wanita India,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg