Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesona ‘retro’ hidup semula di Pasar Pagi Johor Bahru

Lebih 70 peniaga tawar pelbagai barangan terpakai rata-rata dari era 70-an dan 80-an
Nov 17, 2025 | 5:30 AM
pasar pagi johor bahru
Daripada vinil dan majalah 1970-an, pinggan porselin, jam tangan mekanikal, hingga kaset lagu era 1980-an, Pasar Pagi Johor Bahru menjadi lokasi tumpuan penggemar barangan terpakai. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Daripada barangan antik berusia lebih seabad hingga pakaian retro 1970-an, Pasar Pagi Johor Bahru kini muncul sebagai destinasi wajib bagi pencinta barangan vintaj dan pengumpul harta lama yang sarat nilai sentimental.

Setiap pagi Sabtu, kawasan tempat letak kereta terbuka di aras satu Angsana Mall Johor Bahru itu bertukar wajah menjadi ruang niaga yang penuh nostalgia.

Dari jauh sudah kedengaran alunan lagu klasik, bunyi penggera jam tangan lama, serta deru perbualan antara penjual dengan pengunjung yang menawar harga sambil menyingkap kisah di sebalik setiap barangan.

Antara barangan perhiasan peribadi hingga ke peralatan dapur antik yang dijual di Pasar Pagi Johor Bahru.
Antara barangan perhiasan peribadi hingga ke peralatan dapur antik yang dijual di Pasar Pagi Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Dengan lebih 70 peniaga menawarkan pelbagai khazanah, daripada vinil dan majalah 1970-an, pinggan porselin, jam tangan mekanikal, hingga kaset lagu era 1980-an, pasar itu menjadi lokasi tumpuan penggemar barangan terpakai atau bundle dari seluruh negeri, malah turut menarik pengunjung dari seberang Tambak.

Antara kenangan lalu dengan nilai

Bagi Encik Khir Shah Aiman Iskandar, 24 tahun, pemilik gerai mossswantedvintage dari Skudai, minat terhadap barangan lama bukan sekadar hobi, malah satu gaya hidup yang diwarisi sejak kecil.

“Saya mula main bundle sejak sekolah rendah lagi. Masa itu, saya suka tengok baju-baju lama yang tak sama dengan orang lain pakai.

“Kadang, satu baju tu hanya ada seorang aja pakai di Malaysia. Itulah yang buat dia berharga,” katanya sambil menyusun beberapa figura Spiderman era 1990-an di atas meja jualan.

“Bagi saya, setiap barangan vintaj ada nilai tersendiri, bukan semata harga, tapi nilai kenangan.

“Kadang-kadang apabila saya dapat mainan dari zaman kecil, rasa macam balik semula ke 1990-an. Itu yang buat saya teruskan minat ni sampai sekarang,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagi anak muda itu, mengumpul bukan sekadar menjual, bahkan satu bentuk penghargaan terhadap zaman yang membentuk diri.

“Susah nak cari barang-barang macam ni sekarang, tapi kalau rajin ‘menyelam’ (istilah orang bundle) insya-Allah jumpa. Yang penting kena cinta apa kita buat,” katanya.

(Dari kanan) Encik Khir Shah Aiman Iskandar, Encik Harris Irfan Jamaludin, Encik Noriman Ngatiman dan Raja Muhammad Taqwa Raja Idris, tampil dengan gaya ‘retro’ mereka setiap Sabtu di Pasar Pagi Johor Bahru.
(Dari kanan) Encik Khir Shah Aiman Iskandar, Encik Harris Irfan Jamaludin, Encik Noriman Ngatiman dan Raja Muhammad Taqwa Raja Idris, tampil dengan gaya ‘retro’ mereka setiap Sabtu di Pasar Pagi Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Tidak jauh dari situ, Raja Muhammad Taqwa Raja Idris, 32 tahun, pemilik gerai antik, krauterhausjb, sedang sibuk melayan pelanggan yang meneliti koleksi tin minuman lama, botol kaca dan majalah era 1970-an.

“Saya dah lebih 20 tahun kumpul barang antik, dan tiap satu barang ada ceritanya,” katanya sambil menepuk lembut sebuah majalah lama.

“Saya minat sebab ikut pak cik saya dulu ke pasar antik di Kuala Lumpur. Dari situ saya belajar, setiap barang lama ada kisah dan ada jiwa,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurutnya, minat terhadap barangan lama bukan sekadar soal nilai ekonomi, bahkan warisan yang boleh menghubungkan generasi.

“Apabila anak muda tengok barang lama, mereka faham macam mana kehidupan orang dulu. Kita boleh nampak kreativiti mereka tanpa teknologi moden. Barang tu jadi saksi masa,” ceritanya.

Antara koleksi termahal miliknya termasuk lampu isyarat kereta api dari Indonesia dan beberapa botol Coca-Cola edisi awal 1960-an yang diwarisi daripada ayahnya.

“Bila ayah meninggal, saya teruskan minat dia. Sekarang, saya serahkan kepada peminat lain supaya barang ni terus hidup, bukan berhabuk dalam kotak,” ujarnya perlahan.

Raja Muhammad Taqwa Raja Idris (kiri) menunjukkan antara koleksi majalah lama yang dikumpulnya sejak 20 tahun lalu.
Raja Muhammad Taqwa Raja Idris (kiri) menunjukkan antara koleksi majalah lama yang dikumpulnya sejak 20 tahun lalu. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Bagi Cik Siti Hidayah Hamzah, 28 tahun, pemilik spa di Johor Bahru yang berniaga secara sambilan di pasar itu, minatnya terhadap barangan antik diwarisi daripada keluarga yang menyimpan koleksi pinggan dan cawan sejak era 1950-an.

“Bila saya bawa pinggan buatan 1904 ke sini, ramai anak muda terkejut.

“Mereka tak pernah tengok tepak sirih atau kacip sirih sebenar. Bila saya tunjuk, mereka macam kagum. ‘Eh, ini macam dalam muzium’!,” katanya sambil tersenyum.

“Bagi saya, ini bukan sekadar menjual barang, tapi mendidik.

“Kita tunjukkan kepada generasi muda bahawa barangan antik ni ada kisah dan keindahan tersendiri. Walaupun sekarang banyak yang tiruan, bahan dan hasil kerja tangan dulu tak sama mutunya,” ujarnya.

Barang lama, jiwa baru

Di satu sudut lain, gerai pakaian vintaj, Anuar’s Store, milik Encik Anuar Zainol, 51 tahun, dari Perak, menjadi tumpuan pemburu pakaian band tee dan jaket denim era 1980-an.

“Minat ni memang dari jiwa,” katanya.

“Saya generasi X, jadi saya sambung semangat tu. Dulu saya main T-shirt band, tapi lama-lama saya cari sesuatu yang lebih klasik. Barang vintaj ni tak ada penghujung. Dari tahun ke tahun, makin banyak yang kita belajar.”

Encik Anuar Zainol menunjukkan antara koleksi pakaian pada era 1930 dan 1950 miliknya yang dibuat dari Perancis.
Encik Anuar Zainol menunjukkan antara koleksi pakaian pada era 1930 dan 1950 miliknya yang dibuat dari Perancis. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan bekalan kini datang dari Thailand kerana negara itu menjadi pusat transit barangan lama dari Jepun, Pakistan dan Eropah.

“Dulu masa pandemik Covid-19, barang senang dapat. Sekarang susah, sebab ramai pembeli antarabangsa dah mula datang beli terus dari sana,” katanya.

Selain pakaian dan barangan antik, ada juga yang menumpukan kepada gaya hidup retro sepenuhnya.

Encik Harris Irfan Jamaludin, 21 tahun, pemilik gerai, Kostum Retro JB, menghiasi ruang niaganya dengan cermin mata besar, mainan lama, dan baju berkolar besar ala 1970-an.

“Saya mula minat gaya 70-an sejak 2023. Saya belajar daripada video lama penyanyi seperti Uji Rashid dan Halil Chik,” katanya sambil menunjukkan sepasang kaca mata berbingkai besar.

“Zaman itu berani bermain warna dan bentuk. Specs mereka besar, baju kontra, kainnya tebal dan bermutu,” tambahnya.

Encik Harris Irfan Jamaludin, menunjukkan antara koleksi cermin mata besar miliknya.
Encik Harris Irfan Jamaludin, menunjukkan antara koleksi cermin mata besar miliknya. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, minat terhadap gaya lama itu bukan sekadar nostalgia, bahkan juga bentuk penentangan terhadap fesyen cepat yang seragam.

“Baju 70-an ni unik. Satu helai pun boleh capai ribuan ringgit sebab nilai dan mutunya. Orang sekarang baru sedar yang lama itu sebenarnya lebih bernilai,” ujarnya yakin.

Identiti diri dan nostalgia

Menariknya, bukan hanya peniaga tempatan yang meramaikan suasana di pasar pagi itu.

Warga Singapura juga mula menjadikannya destinasi hujung minggu.

“Singapura dah terlalu moden, jadi bila datang sini rasa tenang.

“Boleh sembang dengan orang yang minat sama,” kata pengunjung dari Sembawang yang mahu dikenali sebagai Encik Johan, 44 tahun, yang ditemui sambil meneliti koleksi pakaian lama.

“Kadang-kadang jumpa ‘jackpot’, barang yang saya cari bertahun-tahun. Saya peminat kasut sniker dan vinil, jadi tempat macam ini memang syurga,” ujarnya.

Encik Johan, 44 tahun.
Encik Johan, 44 tahun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Bagi pengunjung muda seperti Encik Ahmad Faris Taufid, 22 tahun, pelajar dari Kota Tinggi, pasar itu adalah ruang untuk menghargai sejarah dan gaya hidup masa lalu.

“Saya minat muzik, pakaian, dan sejarah. Jadi bila datang sini, rasa macam hidup semula zaman dulu.

“Saya dah datang sejak 2023, dari masa mereka berniaga di Kota Jail. Sekarang sudah ramai, makin besar, makin menarik,” katanya.

Encik Ahmad Faris Taufid, 22 tahun.
Encik Ahmad Faris Taufid, 22 tahun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Bagi Encik Noriman Ngatiman, 50 tahun, peminat pakaian retro dari Pontian, minatnya terhadap gaya lama datang daripada keinginan untuk menonjolkan kelainan.

“Saya suka gaya 70-an sebab bila kita pakai, orang tengok lain. Sekarang semua formal, semua sama.

“Tapi bila kita pakai baju retro, warna terang, corak besar, orang senyum, rasa gembira,” katanya sambil ketawa kecil.

Beliau menambah bahawa mencari pakaian lama memerlukan kesabaran.

Encik Noriman Ngatiman, 50 tahun, memakai cermin mata yang diwarisi daripada datuknya.
Encik Noriman Ngatiman, 50 tahun, memakai cermin mata yang diwarisi daripada datuknya. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Kena rajin ‘menyelam’ di bundle. Kadang dapat dari orang tua-tua yang masih simpan. Bila mereka serah pada kita, rasa macam kita sambung sejarah,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg