Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berduyun ‘buat’ kereta di JB

Warga S’pura pilih Johor untuk selenggara kereta lama, jimat separuh kos
Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Pekerja kedai cuci kereta berlumba menyiapkan permintaan daripada pelanggan yang kebanyakannya datang dari Singapura.
Pekerja kedai cuci kereta berlumba menyiapkan permintaan daripada pelanggan yang kebanyakannya datang dari Singapura. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Kian ramai warga Singapura memilih Johor sebagai destinasi utama untuk menyelenggara dan mencuci kenderaan mereka, terutama bagi kereta lebih lama yang memerlukan penjagaan berkala.

Perbezaan kadar tukaran mata wang dan harga alat ganti yang jauh lebih murah berbanding di Singapura menjadikan Johor tumpuan tetap setiap hujung minggu, apabila deretan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura memenuhi laluan masuk ke bandar raya itu.

Pemandu dari Singapura juga terdorong untuk melakukan ‘overhaul’ atau memperbarui enjin kereta secara menyeluruh, demi ‘melanjutkan’ usia kereta, berlatar harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang melambung.

Pengurus Rev Tuned Garage, Encik Mohammad Asri Devadas, 33 tahun, berkata terdapat peningkatan di antara 20 dengan 30 peratus pelanggan warga Singapura sejak sempadan negara dibuka semula selepas pandemik Covid-19.

“Fokus kita adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik sebab kebanyakan pelanggan Singapura ini masih bergantung kepada promosi mulut ke mulut; atas sebab itu kami mendapat penilaian lima bintang di Google,” katanya.

Warga Singapura, Encik Mohamad Azan, 57 tahun, yang sudah hampir dua dekad menyelenggara keretanya di Johor, berkata perbezaan harga alat ganti antara kedua-dua negara sangat ketara.

“Sebagai contoh, menukar alat pemula (starter) di Singapura boleh mencecah $550 hingga $600. Di Johor, alat ganti asal Toyota hanya sekitar RM800 ($245), atau lebih kurang separuh daripada harga di sana,” katanya.

Selain harga lebih murah, beliau dan anak-anaknya juga ke Johor untuk servis kereta kerana mutu kerja mekanik tempatan dan layanan baik yang diberikan.

“Dia tidak caj lebih semata-mata kerana kita orang Singapura. Saya datang sebab yakin dan selesa,” katanya.

Encik Hamrey Mohamad, 41 tahun, ke Johor Bahru hampir setiap minggu untuk mencuci dan membuat penyelenggaraan kecil di kawasan B-Point, Jalan Lingkaran Dalam.

“Biasanya mereka tawarkan pakej cuci dalaman atau lapisan lilin air (water wax). Kalau saya rasa perlu, saya ambil. Kalau tidak, saya tolak. Kadang-kadang mereka cuba memujuk, tapi kalau saya tolak, mereka akur,” katanya.

Beliau berkata walaupun harga kini meningkat sedikit, perbezaan kos tetap ketara jika dibandingkan dengan kadar di Singapura.

“Dulu cuci biasa RM10 ke RM12, sekarang sudah RM20. Tapi kalau banding dengan Singapura, itu masih jauh lebih murah,” katanya. Secara perbandingan, seorang pemandu yang mencuci kereta di Singapura boleh menjangka membayar harga permulaan $10 hingga $15.

Encik Hisyamuddin Lamri, 35 tahun, menasihati pelanggan agar memilih pusat cuci kenderaan dan bengkel yang mempunyai reputasi baik serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran harga terlalu murah.

Menurutnya, harga di pusat cuci dan bengkel Johor berbeza mengikut kawasan dan jenis perkhidmatan.

“Kalau cuci biasa, antara RM20 dengan RM25. Kalau pakej lapisan lilin atau hilang kesan air, bermula RM30 hingga RM35.

“Pelanggan tidak keberatan membayar lebih asalkan mutu kerja berbaloi,” katanya sambil menambah bahawa ramai pelanggan dari Singapura sanggup menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Encik Rosmele Mohd Noor, 61 tahun, dari Tampines, menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau pusat cuci kenderaan agar tidak mengenakan caj melampau terhadap pelanggan asing.

Beliau sendiri pernah dikenakan bayaran RM140 bagi cucian yang disangkanya berharga RM20.

“Saya rasa perlu ada ketetapan harga supaya pemilik tidak meletakkan harga sesuka hati. Kita datang untuk bantu perniagaan tempatan, tapi akhirnya kita pula jadi mangsa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg