Topic followed successfully
Go to BHkuIndustri nanas M’sia kekal kukuh meski krisis tenaga global
Industri nanas M’sia kekal kukuh meski krisis tenaga global
Permintaan tempatan stabilkan pasaran, pekebun kecil terus jadi tulang belakang
Industri nanas M’sia kekal kukuh meski krisis tenaga global
Industri nanas Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan daripada krisis tenaga global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata kenaikan harga tenaga memberi kesan langsung kepada sektor pertanian, khususnya dari segi peningkatan kos pengangkutan serta input seperti baja dan racun.
“Apabila harga minyak meningkat, kos penghantaran turut naik dan ini memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 April.
Beliau berkata ketidaktentuan ekonomi global juga boleh menjejaskan permintaan eksport, sekali gus memberi cabaran kepada pengeluar dan pekebun tempatan.
“Dalam konteks industri nanas, kesan ini dirasai terutama dari segi kos penghantaran dan kemungkinan penyusutan permintaan luar negara,” katanya.
Namun, Sheikh Umar menegaskan industri nanas Malaysia masih mampu bertahan kerana disokong permintaan domestik yang kukuh.
“Permintaan dalam negara dianggarkan sekitar 60 peratus dan ini menjadi penyokong utama kepada pasaran nanas negara,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan pasaran tempatan itu membantu menstabilkan harga walaupun eksport berdepan ketidaktentuan.
“Walaupun eksport mungkin terjejas, pasaran domestik masih berupaya menyerap hasil pengeluaran,” katanya.
Selain itu, beliau berkata industri nanas negara tidak bergantung kepada satu pasaran eksport semata-mata, sebaliknya telah diperluaskan ke pelbagai negara.
“Eksport nanas Malaysia kini meliputi pasaran seperti China, Jepun, Korea, Singapura, Australia dan New Zealand selain pasaran tradisional,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian pasaran itu memberi kelebihan strategik kepada industri nanas negara.
“Sekiranya satu pasaran terjejas akibat konflik atau kos logistik, pasaran lain masih boleh menjadi alternatif,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu menjadikan industri nanas Malaysia lebih berdaya tahan berbanding sektor lain yang terlalu bergantung kepada satu destinasi eksport.
Dalam masa sama, Sheikh Umar berharap konflik di Timur Tengah dapat diselesaikan segera bagi memastikan kestabilan ekonomi global.
“Apabila keadaan kembali stabil, pasaran eksport akan pulih dan ini memberi manfaat kepada sektor pertanian termasuk industri nanas,” katanya.
Beliau turut menggalakkan rakyat untuk meneroka potensi penanaman nanas sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Dalam keadaan ekonomi mencabar, kepelbagaian sumber pendapatan amat penting dan nanas merupakan antara tanaman yang praktikal serta berpotensi tinggi,” katanya.
Menurut beliau, nilai dagangan nanas negara telah melebihi RM1 bilion ($321 juta) setakat 2024, menunjukkan potensi besar industri tersebut.
“Nanas boleh ditanam secara selingan, contohnya di kawasan ladang kelapa sawit sebelum pokok matang, sekali gus memberi pulangan lebih awal kepada pekebun,” katanya.

