Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif kerajaan-swasta kumpul hampir RM120j bagi tangani miskin tegar

Jul 24, 2025 | 4:00 PM
Anwar Ibrahim, Madani
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PUTRAJAYA: Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mengumpul hampir RM120 juta ($36 juta) hasil sumbangan sektor swasta, sebagai komitmen bersama menoktahkan kemiskinan tegar di negara itu.

Berucap pada majlis peluncuran inisiatif itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan sambutan yang diterima itu amat luar biasa, jauh melepasi sasaran awal RM50 juta, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap usaha kerajaan membantu kumpulan rentan melalui program tertumpu.

“Melalui ikhtiar ini, saya kata kalau mendapat RM50 juta sudah kira baik, kerajaan boleh tambah sedikit, tetapi sekarang sambutan itu bukan hanya dua kali (ganda), lebih daripada itu.

“Jadi saya agak sentimental sikit dan minta maaf. Saya pun manusia biasa, kadang-kadang ada juga perasaan walaupun tidak semua orang senang dalam hal ini, tetapi saya percaya dan sudah hampir RM120 juta (sumbangan berjaya dikumpul),” katanya.

Program Sejahtera Madani yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), menyatukan pelbagai bentuk libat urus merentas kementerian, agensi dan sektor korporat.

Ia memberi tumpuan dalam empat bidang utama: pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar menegaskan bahawa sokongan besar sektor swasta membuktikan semangat kerjasama nasional yang kukuh, dengan banyak syarikat tampil bukan sekadar menyumbang dana, malah turut mengambil tanggungjawab sosial.

“Ini projek baik. Kita nak pacu negara ini sebagai negara yang gagah dan hebat, dan negara hebat ini tentunya bermula daripada pimpinan yang menjaga tanggungjawab, yang elak daripada ketirisan, salah guna kuasa, rasuah.

“Tapi ia tidak akan berhasil tanpa kekuatan swasta yang menerobos ke pasaran antarabangsa – ke Mesir, ke Italy, ke Perancis, ke Peru, Brazil. Ini kekuatan swasta, manakala tanggungjawab kami ialah memberi galakan, dorongan dan sokongan sedaya upaya,” katanya.

Datuk Anwar turut mengulangi pendirian Kerajaan Madani pimpinannya yang bertekad untuk menoktahkan kemiskinan di negara itu menerusi pelbagai usaha bersama serta pendekatan yang lebih strategik.

“Sasaran saya bersama rakan Jemaah Menteri ialah kalau boleh, kita mula menoktahkan kemiskinan tegar iaitu ‘hardcore poor’. Berdasarkan angka 2023 hingga 2024, kita dapat atasi walaupun jumlah itu akan muncul kemudian, tetapi jumlahnya jauh rendah daripada dahulu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg