KUALA LUMPUR: Pengumuman penghargaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disambut dengan rasa syukur segenap lapisan rakyat yang menyifatkan bantuan itu tepat pada masanya bagi mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin mencabar.
Daripada bantuan kewangan bernilai RM100 ($30.20), penurunan harga petrol, sehinggalah cuti umum tambahan, setiap inisiatif yang diumumkan dilihat memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Pekerja swasta, Cik Nurul Najihah Ahmad Kamal, 26 tahun, berkata bantuan tunai RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) adalah satu suntikan kewangan yang sangat praktikal.
“Bagi orang yang baru mula kerja macam saya, setiap ringgit itu berharga. Wang RM100 ini boleh diguna untuk beli barang dapur atau isi minyak kereta ke tempat kerja.
“Ia benar-benar membantu melegakan bajet bulanan yang ketat, terutamanya pada hujung bulan sebelum gaji,” katanya, lapor Harian Metro pada 23 Julai.
Bagi Encik Muhammad Syaheed Ismail, 24 tahun, yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula September ini berbanding RM2.05 ketika ini adalah berita yang paling ditunggu-tunggu.
“Petrol adalah kos operasi harian kami yang paling besar. Walaupun penjimatan nampak kecil setiap kali isi minyak, tapi bila dikumpul sebulan, ia sangat memberi kesan.
“Setiap ringgit yang dijimatkan daripada kos petrol adalah duit tambahan untuk makan, simpanan atau untuk selenggara motosikal. Ini secara tidak langsung meningkatkan pendapatan bersih kami,” katanya.
Peniaga Encik Sarana Gopal, 72 tahun, berkata beliau melihat pakej bantuan itu sebagai satu rahmat yang memberi manfaat berganda.
“Perluasan Jualan Rahmah ke semua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) ini sangat bagus. Sebagai peniaga, saya boleh dapat bahan mentah dengan harga lebih murah. Ini bantu kurangkan kos modal.
“Untuk keluarga pula, dapatlah berjimat apabila beli barang keperluan harian,” kata bapa kepada empat anak itu.
Katanya, penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya juga amat melegakan kerana ia memastikan kos logistik untuk mengambil bekalan tidak meningkat.
“Paling seronok, cuti umum tambahan pada 15 September ini. Cuti panjang empat hari bermula Sabtu, 13 September hingga Selasa 16 September mesti kami manfaatkan dengan pulang ke kampung untuk luangkan masa dengan keluarga,” katanya.
Terdahulu, Datuk Anwar mengumumkan enam ikhtiar baru sebagai penghargaan buat semua rakyat Malaysia
Antaranya, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter untuk warga Malaysia menjelang akhir September 2025.
Selain itu, kerajaan bersetuju menangguh kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Peruntukan Jualan Rahmah Madani 2025 ditingkatkan menjadi RM600 juta dengan Jualan Rahmah akan diadakan di setiap kawasan DUN di seluruh negara.
Selain itu, 15 September 2025 diisytiharkan sebagai hari cuti umum tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 2025.
Bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warga dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara sekali beri melalui MyKad di bawah program Sara.
Bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg