Warga Malaysia menerima khabar gembira daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi pemberian beberapa insentif termasuk sumbangan wang tunai RM100 ($30.20) sekali sahaja buat setiap warga berusia 18 tahun ke atas, yang diumumkan pada 23 Julai.
Dalam pengumuman ‘Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di media sosial dan stesen televisyen, Datuk Anwar turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan lebih rendah kepada RM1.99 seliter, apabila penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan kelak, cuti khas pada 15 September, dan kadar tol dikekalkan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai bantuan tunai RM100 itu, Datuk Anwar berkata setiap warga dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara sekali sahaja melalui MyKad (kad pengenalan) di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh Malaysia.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan Sara meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.
“Ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya.
Mengenai harga petrol RON95, beliau, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi petrol RON95, yang perinciannya akan diumumkan menjelang akhir September.
“Rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter. Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
“Pada masa sama, mereka yang tidak layak seperti warga asing perlu untuk membayar pada harga pasaran tanpa subsidi,” katanya.
Datuk Anwar juga berkata pendekatan bersasar itu sejajar dengan ikhtiar kerajaan Malaysia untuk mengoptimumkan sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun. Sungguhpun pada 2025 harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya.
Pada pengumuman sama, Datuk Anwar turut memaklumkan penangguhan kenaikan kadar tol membabitkan 10 lebuh raya.
“Tahun ini, 10 lebuh raya dijadual bagi kenaikan kadar tol sepertimana perjanjian. Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
“Susulan itu, kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta. Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.
Datuk Anwar turut mengumumkan penghargaan sempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September, dengan mengisytiharkan cuti umum pada 15 September.
“Hari kelepasan ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara,” ujarnya.
Datuk Anwar juga mengumumkan tambahan peruntukan bagi program Jualan Rahmah Madani 2025 yang dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
“Peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Datuk Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun (Perak), turut menyentuh mengenai keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan dan mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan, termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan pada 2025 ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg