Kerajaan Johor meneruskan komitmen terhadap pembangunan modal insan melalui pelaksanaan Inisiatif Tiga Serangkai Pendidikan Johor yang berlangsung serentak di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata program berimpak tinggi itu bertujuan menyuntik semangat, memberi motivasi serta meringankan beban calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 agar mereka lebih bersedia dan yakin menghadapi peperiksaan.
Beliau berkata tiga komponen utama dilaksanakan di bawah inisiatif itu, iaitu penyerahan Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makanan Tengah Hari Percuma SPM 2025, serta Insentif Tingkatan Enam (Pra-U) Johor.
“Langkah proaktif ini bukan sekadar bentuk bantuan kebajikan, tetapi cerminan kasih dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masa depan pendidikan anak-anak Bangsa Johor yang merupakan aset utama negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Oktober.
Menurut Datuk Mohd Jafni, sebanyak RM853,000 ($263,625) diperuntukkan bagi penyediaan Kit SPM Maju Johor, manakala RM4.2 juta lagi disalurkan untuk pelaksanaan Bantuan Makanan Tengah Hari Percuma kepada 42,466 calon SPM di seluruh Johor sepanjang 10 hari peperiksaan berlangsung.
Beliau berkata bantuan itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada pelajar dan keluarga, bahkan memastikan calon peperiksaan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran tanpa gangguan kebajikan asas.
“Bagi pelajar Tingkatan Enam pula, Kerajaan Negeri menyalurkan RM2 juta bagi pelaksanaan Pra-U yang memberi manfaat kepada 8,317 pelajar di seluruh Johor.
“Setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM200 sebagai tanda penghargaan dan dorongan untuk terus melangkah ke menara gading dengan semangat tinggi dan iltizam untuk berjaya,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai memaklumkan, bagi kawasan DUN Bukit Permai, seramai 657 calon SPM dan 148 penerima Bantuan Makanan Tengah Hari Percuma menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM31,080.
Sementara itu, di DUN Bukit Batu, seramai 704 calon SPM dan 285 penerima bantuan makanan tengah hari percuma menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM59,850.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua penerima atas usaha gigih yang ditunjukkan serta berharap bantuan itu menjadi dorongan tambahan untuk calon SPM dan STPM terus berjuang serta membuktikan kemampuan anak Johor dalam mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg