Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden hidang arak: Menteri, kementerian pelancongan diberi amaran keras

Oct 7, 2025 | 4:48 PM
M’sia, insiden hidang arak, Menteri, kementerian pelancongan diberi amaran keras
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran keras kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, menyusuli insiden hidangan arak pada satu acara rasmi kerajaan baru-baru ini.

Datuk Anwar dalam hantaran di Facebook pada 7 Oktober mengakui kesal dengan kejadian yang tular itu dan menegaskan dasar kerajaan Malaysia adalah jelas dan tegas bahawa sebarang acara rasmi kerajaan tidak dibenarkan menghidangkan arak.

Beliau berkata walaupun Motac memberi penjelasan minuman beralkohol itu dihidangkan selepas selesai acara rasmi, tetapi ia berlaku di tempat dan majlis sama dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Tindakan Menteri (Datuk Tiong) dan Motac amat dikesali dan mereka telah diberi amaran tegas agar tidak mengulangi perkara sama.

“Seluruh jentera Kerajaan juga telah diingatkan supaya tidak cuai berhubung perkara sebegini dan perlu memastikan kesilapan sama tidak berulang,” tegasnya dalam hantaran Facebook itu.

Datuk Anwar turut mengingatkan semua pihak terutama dalam institusi kerajaan, termasuk yang berjawatan menteri supaya lebih peka dan sensitif terhadap peraturan dan undang-undang.

“Dasar kerajaan jelas, tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara,” tegasnya lagi.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan meminta Datuk Tiong memohon maaf atas kejadian itu, Datuk Anwar berkata perkara tersebut akan dirujuk kepada menteri terbabit.

Terdahulu Datuk Anwar sepatutnya hadir ke Dewan Rakyat untuk sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada 7 Oktober, namun sesi itu terpaksa ditiadakan selepas Datuk Anwar dipanggil ke Istana Negara, dipercayai berkait isu yang sama.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan pada permulaan sesi Dewan Rakyat bahawa Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen (AP) Tambun (Perak) tidak dapat hadir kerana diarahkan oleh Majlis Raja-Raja untuk berada di Istana Negara pada 10 pagi. 

Sebelum ini, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) yang juga mantan Timbalan Menteri Pelancongan, menuntut penjelasan Datuk Tiong dan Motac, selepas tular gambar dan video memaparkan minuman beralkohol disajikan pada program makan malam, Global Travel Meet 2025.

Kejadian itu menerima kecaman daripada banyak pihak.

Datuk Tiong kemudian memberi penjelasan bahawa acara itu adalah inisiatif pihak swasta dan industri serta menafikan ia program anjuran kerajaan.

Beliau menjelaskan Tourism Malaysia hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026.

Namun, beberapa pihak termasuk mantan menteri, Encik Khairy Jamaludin, di media sosialnya kemudian berkongsi beberapa dokumen yang dipercayai mengesahkan acara itu adalah anjuran Tourism Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama pada 6 Oktober, tiga persatuan pelancongan iaitu Malaysian Indian Travel & Tours Association (Mitta); Malaysian Inbound Chinese Association (Mica) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) pula menggesa agar dihentikan kenyataan ‘mengelirukan’ mengenai majlis makan malam gala itu.

Dalam pada itu Harian Metro melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Encik Nga Kor Ming, meminta semua pihak tidak membesarkan isu hidangan alkohol pada majlis rasmi dikaitkan dengan Motac itu, yang dibimbangi boleh menjejas Tahun Melawat Malaysia 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg