SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menguatkuasakan larangan minum minuman keras di tempat awam termasuk kawasan pantai awam Port Dickson yang popular sebagai tempat pelancongan di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu berdepan kompaun serta-merta dengan denda hingga RM2,000 ($603).
Beliau berkata larangan minum minuman keras di tempat awam seperti pantai awam, taman riadah dan taman kanak-kanak adalah bagi menghormati sensitiviti masyarakat.
“Larangan ini telah lama wujud, namun ketiadaan tindakan penguatkuasaan melalui kompaun menyebabkan masalah itu terus berulang.
“Jadi hari ini kita mahu pastikan bahawa di tempat awam, padang awam, taman rekreasi dan pantai awam tidak dibenarkan minum minuman keras,” katanya, lapor portal Berita RTM.
Datuk Aminuddin berkata larangan atas kesalahan itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita mahu kuasa daripada PDRM dan PBT untuk mengambil tindakan. Boleh beri kompaun kepada mereka yang tidak patuh,” katanya.
Beliau berkata PBT dan pihak polis boleh mengambil tindakan menghalau dan mengenakan kompaun kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan minum minuman keras di tempat awam.
Negeri Sembilan yang dikenali sebagai negeri beradat dan terkenal dengan keindahan pantai Port Dickson, semakin menjadi tumpuan pelancong termasuk dari luar negara dan merekodkan kehadiran kira-kira 20 juta pelancong pada 2024.
Sebelum ini kerajaan negeri itu telah mengambil langkah menambah baik kemudahan dan keindahan pantai Port Dickson, termasuk mengatasi masalah anjing liar berkeliaran dan tempat perkhemahan yang tidak teratur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg