SUBANG JAYA: Pihak polis menerima satu laporan polis yang mendakwa ada individu bermain mercun berhampiran kawasan insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa ada pihak yang bermain mercun di kawasan terbabit pada malam sebelum kejadian letupan paip gas, lapor Berita Harian Malaysia.
“Pihak polis tidak melihat bagaimana kejadian pada waktu itu boleh membabitkan letupan tersebut. Bagaimanapun, kita masih lagi menunggu siasatan penuh.
“Saya cuma maklum laporan diterima setakat ini. Jadi kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. Yang ini berdasarkan maklumat yang mereka (pengadu) lihat,” katanya.
Selain itu, beliau menambah terdapat 100 percakapan dirakam oleh polis membabitkan pelbagai pihak.
Katanya, mereka yang dipanggil itu termasuk 15 individu daripada pihak kontraktor, sub-kontraktor dan pekerja.
“Sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam membabitkan pelbagai pihak, termasuk satu laporan polis yang menyatakan ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac lalu,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg