Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan N. Sembilan siasat kerja korek tanah dekat paip gas

Apr 7, 2025 | 11:38 AM
Satu video selama 28 saat tular di media sosial memaparkan kerja pembinaan sebuah projek taman perumahan baru di Sendayan, Negeri Sembilan, Malaysia, dilakukan berhampiran laluan paip gas.
Satu video selama 28 saat tular di media sosial memaparkan kerja pembinaan sebuah projek taman perumahan baru di Sendayan, Negeri Sembilan, Malaysia, dilakukan berhampiran laluan paip gas. - Foto tular KOSMO!

SEREMBAN: Selepas tragedi letupan dan kebakaran besar di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada hari kedua Syawal pada 1 April menyebabkan kemusnahan dahsyat, kini penduduk di Sendayan, Negeri Sembilan, pula dibayangi kebimbangan yang sama.

Ia berikutan video tular memaparkan kerja pembinaan perumahan baru di Sendayan yang dikatakan berhampiran dengan laluan paip gas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, Encik J Arul Kumar, berkata pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak kawasan kerja berkenaan sama ada sudah memasuki rizab jalan atau tidak.

“Laluan paip gas ini bukan di bawah Petronas, namun di bawah Gas Malaysia. Difahamkan, ia merupakan sambungan paip kecil daripada paip besar ke kawasan industri sekitar serta terletak di rizab jalan.

“Papan tanda amaran memang ada diletakkan di situ. Saya sudah maklumkan kepada pemaju dan PBT untuk lihat kembali projek ini dan kerja-kerja berhampiran paip gas,” katanya, lapor Kosmo!.

Terdahulu, tular video selama 28 saat di media sosial memaparkan sebuah projek taman perumahan baru di Sendayan didakwa dilakukan berhampiran laluan paip gas.

Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat mengenai risiko berlaku kejadian kebakaran seperti di Putra Heights, dan menuntut kerajaan melakukan siasatan dan mengambil tindakan segera.

Dalam kejadian mengejutkan kira-kira 8 pagi pada 1 April, ratusan penduduk di kawasan penempatan berhampiran Jalan Harmoni, Putra Heights, menempuh detik menakutkan apabila berlaku letupan dan kebakaran saluran paip gas bawah tanah, sehingga menyebabkan bahang api mencecah 1,000 darjah Celsius.

Menyusuli kejadian, ratusan mangsa mengalami luka, lecur dan sesak nafas dan dirawat di hospital awam dan swasta.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg