Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegembiraan Syawal bertukar detik trauma buat penduduk

Ratusan penduduk hilang tempat tinggal dalam sekelip mata ketika umat Islam masih raikan Hari Raya pada minggu pertama Syawal
Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Api menjulang sehingga 30 meter dalam letupan dahsyat membabitkan kebakaran saluran paip gas bawah tanah Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April.
Api menjulang sehingga 30 meter dalam letupan dahsyat membabitkan kebakaran saluran paip gas bawah tanah Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April. - Foto NSTP

Sambutan Aidilfitri 2025 yang bermula penuh kegembiraan bertukar detik trauma paling dahsyat buat ratusan penduduk di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, dan sekitarnya, dengan kecederaan serta kemusnahan harta benda akibat tragedi letupan dan kebakaran saluran paip gas bawah tanah pada Syawal kedua, 1 April lalu.

Letupan besar dengan api menjulang sehingga 30 meter, atau setinggi bangunan 20 tingkat, yang awalnya disangkakan penduduk ialah kejadian pesawat terhempas – meninggalkan kesan kemusnahan menggerunkan, menyebabkan kawasan perumahan di situ berubah seperti medan perang.

Di mana-mana dekat kawasan kejadian terlihat kenderaan dan pelbagai barangan melebur, kediaman terbakar, tumbuhan rentung, malah air menggelegak akibat kebakaran besar dan bahang panas melampau daripada api yang meletus sehingga mencecah 1,000 darjah Celsius.

Ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata ketika umat Islam masih meraikan Hari Raya pada minggu pertama Syawal.

Kebakaran dan letupan luar biasa saluran paip gas milik Petronas sepanjang 500 meter yang memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya mengubah landskap kawasan perumahan itu, dengan terbentuknya sebuah kawah sedalam hampir 10 meter akibat ledakan gas yang kuat.

Setakat laporan ini ditulis, pihak berkuasa mengesahkan seramai 529 mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa rumah ibadat termasuk masjid dan kuil, manakala 132 mangsa yang mengalami lecur, luka dan sesak nafas dirawat di hospital awam dan swasta.

Dilaporkan seramai 13 daripadanya berada di zon merah – menandakan kecederaan serius dialami mereka.

Insiden malang ini – walaupun tidak membabitkan kehilangan nyawa – sekali lagi menjadikan Malaysia laporan utama di media antarabangsa, selepas kejadian lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada Ogos 2024, melenyapkan tanpa jejak seorang wanita warga India yang datang melancong ke negara itu.

Kejadian itu juga mengingatkan kembali sejarah tragedi sama yang pernah berlaku pada Mei 1991, apabila kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor, terbakar dan menghasilkan letupan besar, mengorbankan 26 orang, mencederakan ratusan lain dan memusnahkan kediaman.

Ketika ini, pihak yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat; pihak berkuasa tempatan (PBT); Tenaga Nasional Berhad dan pelbagai lagi agensi, malah Petronas sendiri sebagai pemilik tapak kejadian di Putra Heights itu, sedang giat menjalankan siasatan mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdapat laporan mengaitkan kejadian letupan dan kebakaran yang menggemparkan seantero Malaysia itu dengan projek pembinaan yang sedang dijalankan pemaju dan kontraktor berhampiran saluran paip gas Petronas, yang didakwa menjadi punca letupan dan kebakaran itu.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Subang Jaya (Selangor), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, berkata projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights itu, telah mendapat kelulusan dan kebenaran yang sah sejak 2022.

Malah katanya projek membabitkan rumah kedai itu kini berada dalam fasa mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan semua kelulusan diperoleh mengikut peraturan yang ditetapkan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kenyataan awalnya bagi menghebahkan laporan siasatan awal kejadian mendakwa tiada aktiviti pembinaan dilakukan pada tarikh berlakunya insiden letupan.

Bagaimanapun CIDB kemudian menarik balik kenyataan itu bagi menghormati proses siasatan yang masih dijalankan, selain terdapat video tular di media sosial mendakwa penduduk menunjukkan bukti bahawa ada berlakunya aktiviti pembinaan pada hari kejadian.

Menurut Pengarah CIDB, Cik Heryanti Hilmi, siasatan di lokasi kejadian menunjukkan tapak pembinaan 10 kedai pejabat dua tingkat yang dikaitkan warganet dengan letupan paip gas terbabit sebenarnya terletak 30 meter daripada lokasi paip gas yang meletup.

PDRM pula menjanjikan siasatan telus tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertanggungjawab, termasuk menyiasat syarikat kontraktor yang menjalankan kerja di kawasan kejadian.

Bagi penduduk di kawasan terjejas dengan insiden kebakaran itu, tidak menyangka mereka akan berdepan pengalaman ngeri kehilangan harta benda yang musnah akibat kejadian malang itu, apatah lagi ia berlaku hanya pada hari kedua Syawal.

Cik Ramlah Harun, 60 tahun, bersama 11 ahli keluarganya nekad terjun ke dalam Sungai Klang bagi menyelamatkan diri daripada bahang akibat kebakaran saluran paip gas bawah tanah itu.

“Ketika kejadian saya dengar letupan kuat sebelum ternampak api menjulang tinggi. Ketika itu di rumah memang ramai anak cucu yang pulang sambut Hari Raya.

“Kalau kami tak terjun sungai mungkin sudah mati kepanasan akibat bahang terlalu kuat,” katanya yang tinggal hanya 200 meter dari tempat kejadian letupan di Kampung Kuala Sungai Baru.

Cik Fadilah Yusof, 68 tahun, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang berhampiran tapak kejadian, berkata Aidilfitri kali ini hilang makna baginya apabila kediaman yang dibina dengan titik peluh dan meminjam di sana sini rosak begitu saja.

“Apa yang saya boleh buat sekarang hanya berdoa supaya Allah agar rezekikan kami sekeluarga kembali membina kehidupan di atas tanah sama,” katanya yang sudah lebih 40 tahun menetap di situ.

Beberapa selebriti turut berkongsi detik cemas menghadapi situasi menakutkan umpama dibom itu.

Bekas personaliti TV3, Encik Aidil Abd Ghaffar, 56 tahun, bersyukur lapan kucing miliknya selamat walaupun empat kereta miliknya cair di bahagian komponen luar dan mengalami kerosakan dalaman akibat kejadian letupan paip gas itu.

Encik Aidil berkata keadaan rumahnya yang disewa sejak 2018 penuh dengan debu termasuk serpihan siling yang jatuh dan perlu dibersihkan apabila dibenarkan pulang nanti.

Encik Danial Radziman, 27 tahun, dari Kampung Tengah, tidak jauh daripada kawasan letupan, melecur kededua tapak tangan akibat terkena bahang ketika cuba keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri selepas menyedari api marak.

“Sebaik pegang tombol pintu untuk keluar, tangan saya terus melecur. Saya tak perasan tombol pintu sudah bertukar merah akibat terlalu panas,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Kerajaan Malaysia dan Petronas menyalurkan bantuan segera RM5,000 untuk mangsa yang terjejas teruk, manakala RM2,500 bagi mangsa yang tidak mengalami kerosakan harta benda yang serius.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg