Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Institusi pondok boleh bantu usaha banteras fahaman ekstremisme di M’sia

Mar 10, 2025 | 12:21 PM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan), beramah mesra dengan orang ramai yang menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah, pada 9 Mac malam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan), beramah mesra dengan orang ramai yang menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah, pada 9 Mac malam. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SUNGAI PETANI (Kedah): Institusi pengajian pondok di Malaysia boleh menjadi rakan strategik terbaik Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha membanteras fahaman ekstremisme.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerjasama itu bertujuan menyemai pemahaman Islam yang lebih terangkum serta menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.

“Saya melihat sendiri bagaimana institusi pengajian pondok bukan saja meneruskan tradisi ilmu Islam, tetapi juga berfungsi sebagai benteng akidah umat Islam sejak zaman penjajahan sehingga kini. Mereka bergerak tanpa peruntukan tetap kerajaan, hanya bergantung kepada sumbangan zakat dan derma.

“Institusi pengajian pondok ini boleh menjadi rakan strategik kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya dalam membendung fahaman ekstremisme, membina kefahaman Islam lebih inklusif dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks,” katanya, lapor New Straits Times.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah, pada 9 Mac malam.

Datuk Saifuddin Nasution juga berkata pihaknya akan turut melihat peranan institusi pondok dalam menangani isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja), yang sering dimanipulasi di media sosial sehingga menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Terdahulu, Datuk Saifuddin Nasution berkata pemimpin pembangkang akan menjadi kumpulan yang paling ramai ditahan jika pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mengganggu keharmonian sosial di Malaysia.

Justeru, beliau menggesa semua pihak, terutama pemimpin politik, mengelak daripada mengeksploitasi isu berkaitan 3R untuk kepentingan politik.

“Retorik sebegitu boleh meresahkan masyarakat berbilang etnik Malaysia. Jika tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada, ramai dalam kalangan rakan-rakan Yang Berhormat Takiyuddin akan terkesan,” katanya.

Datuk Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab kenyataan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bahawa kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam isu keharmonian masyarakat.

Mutakhir ini banyak pihak menghujahkan soal keharmonian kaum di Malaysia, sehingga beberapa pihak termasuk wakil rakyat tampil mengemukakan cadangan supaya diwujudkan portfolio Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam, Akta Keharmonian Kaum dan Akta Anti Diskriminasi Kaum, untuk memelihara hubungan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 7 Mac turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu perkauman sebagai senjata politik untuk memenangi sokongan atau menjatuhkan lawan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg