Enam bekas Ahli Parlimen (AP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal sebagai wakil rakyat.
Memutuskan demikian, Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Johari Abdul, berkata enam AP berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka kerana pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini bertentangan dengan peraturan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen.
Dalam surat beliau kepada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Tan Sri Johari berkata peraturan di bawah Fasal 10.5 perlembagaan Bersatu menafikan hak lima AP yang termaktub di bawah Persekutuan Perlembagaan, Peraturan Mesyuarat Parlimen dan Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Tiga undang-undang itu memastikan keistimewaan, kebebasan bersuara, perbahasan dan pengundian AP,” katanya dalam surat bertarikh 9 Julai itu.
Mengulas keputusan tersebut pada sidang media di Parlimen pada 10 Julai, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan keputusan Tan Sri Johari itu sambil melahirkan rasa kecewanya.
Beliau memaklumkan partinya memutuskan mengambil langkah susulan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Bersatu.
Beliau juga menyifatkan keputusan Speaker itu sebagai mencemar Perlembagaan Persekutuan dengan alasan dangkal, sedangkan Bersatu telah memutuskan enam AP terbabit terhenti keahlian parti.
“Bersatu telah menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 daripada Speaker Parlimen yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas AP Bersatu.
“Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat (Parlimen) itu hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.
“Dalam situasi ini, jelas enam Ahli Dewan Rakyat itu tidak lagi menjadi ahli Bersatu berdasarkan peruntukan perlembagaan parti. Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik adalah muktamad dan konklusif.
“Keputusan Speaker sangat mengecewakan dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang.
“Speaker telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin turut menggesa Tan Sri Johari supaya menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia, yang tegasnya, peruntukan itu bertujuan mengekang perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya.
“Hakikatnya, keputusan Speaker ini sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang AP melompat parti.
“Tindakan Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti harus dicela,” katanya.
Enam AP terbabit yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Encik Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg