Topic followed successfully
Go to BHkuIsteri Maman ‘Teacher’s Pet’ meninggal dunia
Isteri Maman ‘Teacher’s Pet’ meninggal dunia
Isteri Maman ‘Teacher’s Pet’ meninggal dunia
Enam tahun selepas kehilangan anak tunggalnya akibat kemalangan jalan raya, Maman ‘Teacher’s Pet’ kehilangan bidadari hatinya, Cik Fayza Mohamed Amin, 56 yang meninggal dunia akibat barah ovari pada 8 September sekitar 8 malam.
Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Prince Court, di Kuala Lumpur.
Lebih menyayat hati, Maman atau nama sebenarnya, Rosman Lamri, 55 tahun yang merupakan seorang penyanyi kelahiran Singapura, juga pernah kehilangan ayahnya sebelum anak tunggalnya itu meninggal dunia.
“Allah banyak menduga saya. Sebelum anak tunggal saya meninggal, saya kehilangan ayah saya, enam bulan sebelum itu.
“Pada umur saya sebegini, saya jumpa cinta hati saya, tetapi Allah dah tetapkan, jodoh kami hanya sampai di sini, tetapi saya reda kerana beliau berpulang kepada pencipta… Saya kehilangan Fayza kepada Allah, saya tahu, beliau akan menunggu saya nanti di sana…” kata penyanyi kumpulan Teacher’s Pet itu yang pernah popular semasa tahun 90an.
Beliau ditemui wartawan pada 9 September di Surau An-Naim, di Wangsa Maju di Kuala Lumpur di mana jenazah Allahyarhamha disolatkan.
Maman menikahi Allahyarhamha Fayza pada April 2021.
Allahyarhamha Fayza atau nama sebenarnya Faizah Mohamed Amin dianggap sebagai seorang pakar dalam industri teknologi di Malaysia, dan pernah menduduki jawatan kanan dan menjadi anggota lembaga pengarah korporat beberapa syarikat.
Kerjaya beliau, yang menjangkau lebih dua dekad, termasuk peranan penting dalam projek tempatan dan antarabangsa.
Menurut Maman, Allahyarhamha Fayza menghidap barah ovari sejak tahun lalu dan dalam keadaan stabil tetapi setelah mengalami darah beku dan melalui rawatan, barahnya menjadi agresif sehinggalah beliau berada dalam keadaan kritikal sejak tiga minggu lalu.
Allahyarhamha Fayza juga meminati muzik dan sering sumbangkan bakatnya menulis lirik, dan pada tahun lepas, lagunya “Kejauhan” dan “Rahsia” muncul dalam album terbaru Maman, berjudul “Aku”.
Album itu diterbitkan dibawah syarikat produksi muzik milik Maman, Meta Music Xtreme (MMX) yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Syarikat miliknya itu akan melancakarkan single ‘Untukmu’ oleh seorang penyanyi baru, Pasya.
Maman juga sudah bersedia untuk mengeluarkan lagu ‘Selamanya’ nyanyian beliau sendiri, dan ditulis oleh Allahyarhamha Fayza mengenai pesakit barah.
“Saya ada beberapa buah lagu yang belum dikeluarkan, yang liriknya ditulis oleh arwah Fayza sendiri… ini semua sudah pun dalam perancangan MMX pada masa yang singkat ini.”
Walaupun dalam keadaan sedih atas pemergian isterinya, Maman tidak berasa kesal kerana dijumpakan dengan arwah isterinya itu dan menganggap cintanya sangat hebat.
“Saya tidak menyesal atas ketentuanNya. Beliau adalah manusia terhebat bagi saya. Sekarang dia menunggu saya di sana, bersama arwah ayah dan anak saya,” kata Maman.

