Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri mangsa kejadian FRU: Arwah gembira dapat anak perempuan selepas 10 tahun

May 14, 2025 | 4:39 AM
Cik Norazian Mohd Joned (kanan), isteri Allahyahram Koperal Amiruddin Zabri yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus, Perak tidak dapat menahan sebak ketika hadir di luar Unit Forensik Hospital Teluk Intan pada 13 Mei.
Cik Norazian Mohd Joned (kanan), isteri Allahyahram Koperal Amiruddin Zabri yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus, Perak tidak dapat menahan sebak ketika hadir di luar Unit Forensik Hospital Teluk Intan pada 13 Mei. - Foto BERNAMA

TELUK INTAN (Perak): “Kami tunggu 10 tahun untuk dapat anak perempuan... tapi kini dia sudah tiada.”

Itulah luahan pilu Cik Norazian Mohd Joned, 38 tahun, isteri kepada Allahyahram Koperal Amiruddin Zabri, seorang daripada sepuluh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Perak pada 13 Mei.

Satu nahas berlaku pada 13 Mei membabitkan trak pasukan itu dengan treler sarat muatan batu. Trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak, selepas selesai tugasan sempena perayaan penganut Hindu, Chitra Pournami di Hilir Perak.

Menurutnya, sebelum ini, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Amirul Firdaus, 12 tahun, dan Amirul Asyraf, 11 tahun, sebelum dikurniakan cahaya mata perempuan pertama Amira Sofea, yang kini berusia setahun, lapor Harian Metro.

“Dia terlalu gembira bila dapat anak perempuan. Kami sudah lama tunggu saat itu... tapi tak sangka kegembiraan itu tak lama,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, Perak, pada 13 Mei.

Cik Norazian yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar berkata, kali terakhir beliau bertemu suaminya adalah pada tengah hari 12 Mei sebelum Allahyarham bertolak ke Teluk Intan untuk tugasan luar sempena sambutan perayaan.

“Dia macam biasa, siapkan barang untuk ke lokasi. Dia kata dah biasa kerja luar dan minta saya jangan risau.

“Tak sangka kejadian ini berlaku,” katanya.

Cik Norazian turut berkongsi suaminya mula berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2011 dan pernah bertugas di beberapa negeri termasuk Johor, sebelum berpindah ke lokasi terkini.

“Saya dapat tahu mengenai kemalangan tersebut daripada rakan sekerja. Dia kata ada kemalangan babitkan Unit 5 dari Sungai Senam.

“Bila telefon suami, dia tak jawab. Saya hubungi rakannya, tetapi dia cuma minta saya tenang dan sabar.

“Masa tu saya masih keliru... betul ke? Sebab laporan awal cuma katakan enam orang maut,” tambahnya yang reda dengan ketentuan Ilahi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg