Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 anggota polis terkorban dalam kemalangan trak di Perak

9 lagi dilaporkan cedera, dengan dua mangsa berada dalam keadaan kritikal
May 13, 2025 | 2:54 PM
Sebuah trak polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak, pada pagi 13 Mei.
Sebuah trak polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak, pada pagi 13 Mei. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam satu nahas membabitkan trak pasukan itu dengan treler sarat muatan batu, di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pada pagi 13 Mei.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata sembilan lagi anggota yang turut berada dalam trak terlibat dilaporkan cedera, dengan dua mangsa berada dalam keadaan kritikal, manakala tujuh lagi sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, Perak, akibat kecederaan sederhana. 

“Kami mengesahkan lapan anggota FRU meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah hospital,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut Datuk Noor Hisam kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca treler terbabit merempuh bahagian hadapan trak FRU Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu dan pemandu lori terlibat sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Ujian air kencing terhadap pemandu lori berusia 40-an tahun berkenaan didapati negatif,” katanya.

Datuk Noor Hisam berkata trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak, selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

“Ketika tiba di tempat kejadian, trak FRU Unit 5 itu dirempuh dari hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya dalam kenyataan.

Tragedi malang itu seakan mengulangi duka lebih tiga dekad lalu, apabila 11 anggota FRU dari Trup 4B terkorban dalam kemalangan pada 28 Februari 1990.

Kemalangan berlaku ketika trak yang dalam perjalanan menjalani latihan di Kuala Terengganu, Terengganu, terbabit dalam nahas 12 kenderaan di Kilometer (KM) 31, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, dekat Pahang, akibat dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota FRU yang maut dalam kemalangan jalan raya itu.

Tan Sri Razarudin berkata beliau mewakili warga PDRM berasa sedih dengan insiden yang menimpa semua mangsa terbabit.

Katanya jasa anggota FRU yang terkorban amat dihargai terutama apabila kemalangan itu berlaku selepas mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.

“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga semua anggota yang terkorban dan mengalami kecederaan dalam kejadian ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kemalangan jalan raya membabitkan trak FRU itu dan menyeru supaya bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota FRU yang terkorban dalam nahas terbabit.

“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan segera mungkin selain dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg