Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes pikap langgar suami isteri di Lebuhraya Baru Lembah Klang: Anak mangsa tak sanggup tonton video nahas

May 13, 2025 | 5:06 PM
Cik Farah Natasya Faizal (foto sisipan) tidak sanggup menonton rakaman video kemalangan membabitkan ibu dan bapanya, namun tetap menuntut keadilan dan mahu pemandu pikap Nissan Navara terbabit bertanggungjawab sepenuhnya.
Cik Farah Natasya Faizal (foto sisipan) tidak sanggup menonton rakaman video kemalangan membabitkan ibu dan bapanya, namun tetap menuntut keadilan dan mahu pemandu pikap Nissan Navara terbabit bertanggungjawab sepenuhnya. - Foto TANGKAP LAYAR BULETIN TV3

SUNGAI BULOH: Tidak pernah sehari pun, Cik Farah Natasya Faizal, tidak bercakap dengan ibunya.

Justeru, alangkah sedihnya apabila beliau memanggil ibunya kini, dan panggilannya tidak terjawab, kerana ibunya tidak sedarkan diri sesudah satu kemalangan ngeri di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), arah Plaza Tol Jalan Duta, pada 10 Mei.

Mengimbas kejadian langgar lari membabitkan sebuah pikap Nissan Navara yang merempuh motosikal yang ditunggang bapanya dan dibonceng ibunya, Cik Farah Natasya, berkata sebelum kejadian, beliau menerima pesanan WhatsApp daripada ibunya pada 2.54 petang, memaklumkan sudah hampir tiba di Plaza Tol Duta.

Ketika itu, ibu dan bapanya dalam perjalanan dari Alor Setar untuk ke Kampung Baru bersama seorang sepupu.

“Saya baru lepas mandi dan terus balas mesej. Saya dah siap nak turun ambil mereka sebab rumah kami jenis kondominium, jadi kena tunggu di bawah.

“Tapi apabila nampak hujan lebat, hati saya mula rasa tak sedap,” katanya kepada Buletin TV3 dan ditukil laman Harian Metro.

Cik Farah Natasya berkata selepas beberapa mesej tidak dibalas, beliau mula resah, lalu cuba menghubungi ibunya, namun panggilan dijawab sepupu yang memaklumkan ibu dan bapanya terbabit dalam kemalangan.

Beliau kemudian bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, melihat sendiri detik menyayat hati apabila bapanya terbaring di atas jalan, manakala ibunya dalam keadaan separuh sedar di dalam ambulans.

“Saya panggil mama (selepas kemalangan) dia beri maklum balas tapi tak buka mata, tak bercakap.

“Saya ikut dia ke hospital. Sampai di hospital, mama dah tak balas langsung. Gerak jari pun sikit saja,” katanya dalam nada sebak.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pasangan suami isteri itu yang menaiki motosikal jenis Benelli TRK 502 cedera dirempuh dari arah kanan oleh sebuah pikap jenis Nissan Navara menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.

Mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka pada kaki, manakala isterinya, 49 tahun, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, dan ditidurkan selepas mengalami pendarahan pada kepala, patah tulang rusuk kanan serta buku lali.

Suspek berusia 32 tahun itu tampil membuat laporan polis pada hari kejadian dan direman dua hari sebelum disambung reman pada 12 Mei.

Cik Farah Natasya berkata, bapanya kini sedang menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke Zon Kuning di Hospital Sungai Buloh.

Sebagai anak, katanya, beliau tidak sanggup untuk menonton rakaman video kemalangan membabitkan ibu bapanya, namun tetap menuntut keadilan dan mahu pemandu pikap Nissan Navara terbabit bertanggungjawab sepenuhnya.

Keluarga mangsa turut menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan berharap pemandu berkenaan dikenakan hukuman yang setimpal.

Terdahulu, polis memaklumkan suspek yang ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan berkenaan, bukan pemilik sebenar kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg