Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsteri Najib diperintah bayar RM67.5j kepada syarikat barangan kemas Lebanon
Isteri Najib diperintah bayar RM67.5j kepada syarikat barangan kemas Lebanon
Rosmah didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57j
Isteri Najib diperintah bayar RM67.5j kepada syarikat barangan kemas Lebanon
KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Cik Rosmah Mansor, diperintah membayar RM67.5 juta ($21.36 juta) kepada syarikat barangan kemas Lebanon selepas didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon, dalam penghakimannya memerintahkan Cik Rosmah membayar jumlah ganti rugi atas kehilangan barangan itu dalam tempoh sebulan, bermula dari penghakiman yang diputuskan pada 10 Jun, kepada Global Royalty Trading SAL.
Ketika membacakan penghakimannya, Datuk Quay berkata terdapat ‘prima facie’ (bukti nyata) isteri Encik Najib Tun Razak itu, gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Cik Rosmah membayar kos RM150,000, iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Cik Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, yang diserahkan ejen syarikat kepada beliau, telah dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala baki 43 barangan kemas tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa Cik Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
Ketika membacakan penghakimannya, hakim berkata mahkamah mendapati terdapat bukti nyata Cik Rosmah gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat tersebut dan ia adalah bukti kecuaian.
Menurutnya, dalam kes saman itu, fakta mengenai apakah yang berlaku pada barang kemas plaintif (Global Royalty) selepas penyerahan, diketahui oleh Cik Rosmah sendiri, selaku defendan.
Katanya, Cik Rosmah gagal membuktikan dakwaan semua 43 barang kemas terbabit telah disita.
Hakim turut memerintahkan Cik Rosmah membayar kos berjumlah RM150,00, iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai pihak ketiga.
