Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, dibebaskan daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta ($2.21 juta) dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia selepas pihak pendakwaan pada 11 Disember menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2024 yang melepas dan membebaskan Datin Rosmah daripada semua tuduhan terbabit, kerana tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keputusan untuk menarik balik rayuan itu tidak menjejas prosiding lain yang masih berjalan termasuk kes rasuah berkaitan projek solar hibrid yang melibatkan tertuduh dan kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan.
AGC berkata tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan.
Menjelaskan lanjut mengenai keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes 12 tuduhan pengubahan wang haram dan LHDN yang dihadapi Datin Rosmah itu, AGC berkata pihaknya memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan.
“Antara faktor yang telah diambil kira dalam mencapai keputusan tersebut ialah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah.
“Ini memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan. Dalam keadaan sedemikian, kesalahan terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan.
“AGC menegaskan bahawa semua aspek utama kes, termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan diambil,” kata AGC dalam kenyataan pada 11 Disember itu.
Sehubungan itu, satu Notis Penarikan Balik Rayuan telah difailkan pihak pendakwaan pada 9 Disember 2025.
Untuk rekod, pada 19 Disember 2024, Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Datin Rosmah, 74 tahun, daripada tuduhan terbabit, selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.
Pada 4 Oktober 2018, Datin Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan pengubahan wang haram bernilai RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg