Topik diikuti
Pergi ke BHkuIstiadat angkat sumpah jawatan Exco Johor dijadual pada 18 Julai
Istiadat angkat sumpah jawatan Exco Johor dijadual pada 18 Julai
Istiadat angkat sumpah jawatan Exco Johor dijadual pada 18 Julai
JOHOR BAHRU: Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dijadualkan berlangsung di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, pada 17 Julai, telah ditangguhkan ke 18 Julai.
Perkara itu dimaklumkan kepada petugas media oleh Pejabat Media Diraja (RPO) pada 17 Julai, bahawa majlis berkenaan akan diadakan pada 9.30 pagi, 18 Julai.
Setakat ini, tiada alasan diberikan berhubung penangguhan majlis itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Semalam, media melaporkan barisan Exco Johor yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya dengan membolot sebanyak 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, bakal diketahui pada 17 Julai.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Exco dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene pada sebelah pagi.
Majlis penuh istiadat itu akan menyaksikan barisan kepimpinan baharu pentadbiran negeri mengangkat sumpah simpan rahsia dan menerima watikah pelantikan masing-masing.
Pengamal media turut dijemput membuat liputan di dua pintu masuk istana membabitkan Pintu Mahkota dan Pintu Kolam Air, bermula seawal 9.30 pagi.
Majlis istiadat itu dijadualkan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Pada 12 Julai, Datuk Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut.
Pada penggal 2022-2026, seramai 11 Exco membarisi pentadbiran Kerajaan Johor diterajui Datuk Onn Hafiz sebagai Menteri Besar yang turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan negeri ketika itu.
Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada pentadbiran lalu dipegang oleh Cik Khairin-Nisa Ismail @ Md On yang bagaimanapun tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Serom pada PRN Johor ke-16.
