Topik diikuti
Pergi ke BHkuOnn Hafiz angkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor
Onn Hafiz angkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor
BN Johor raih kemenangan besar pada PRN Johor Ke-16
Onn Hafiz angkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor
JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengangkat sumpah semula sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu dilantik sebagai Menteri Besar selepas Barisan Nasional (BN) Johor berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
BN Johor memperoleh 48 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya di lapan kerusi DUN.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri Besar Johor berlangsung di Istana Bukit Serene, di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pada 12 Julai.
Turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Terdahulu, Datuk Onn Hafiz tiba di Istana Bukit Serene bagi menghadiri majlis itu pada 3.40 petang sebelum Tunku Ismail berangkat tiba pada 4.25 petang.
Kenderaan rasmi Menteri Besar yang membawa Datuk Onn Hafiz kemudian dilihat meninggalkan Istana Bukit Serene pada 4.50 petang.
Pengerusi BN Johor itu sempat membuka tingkap kereta dan melambaikan tangan ke arah media yang sudah mula berkumpul bagi membuat liputan majlis itu sejak 2 petang.
Ini adalah kali kedua Datuk Onn Hafiz diberi kepercayaan mentadbir Johor selepas pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022, susulan kemenangan BN pada PRN Johor 2022.
Ketika itu beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Johor di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang kini Yang di-Pertuan Agong selepas menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad. - BHM
