Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu bola, jerebu keruhkan hubungan warga siber M’sia-Indonesia
Kontroversi antara pengguna media sosial pengaruhi pilihan, galak boikot barangan harian
Isu bola, jerebu keruhkan hubungan warga siber M’sia-Indonesia
Sebelum ini, santan jenama Kara dari Indonesia digunakan secara meluas di Malaysia.
Namun, sejak lebih seminggu lalu, semakin ramai pengguna Malaysia dilihat beralih kepada jenama tempatan seperti Saji, Adabi, Rasaku dan Ayam Brand.
Perubahan corak pembelian itu berlaku ketika seruan memboikot produk Indonesia semakin tular di media sosial.
Gerakan boikot itu bermula selepas Kahf, jenama produk penjagaan diri lelaki popular Indonesia, memuat naik hantaran yang dilihat memperlekehkan negara jirannya termasuk Malaysia dan Singapura, menyusuli kejayaan Indonesia menjulang kejuaraan sulung Piala Asean Fifa 2026 di Jakarta, pada 5 Oktober lalu.
Dalam hantaran yang mencetus kontroversi itu, media sosial Kahf memaparkan bendera Indonesia berada di atas bendera Malaysia, Thailand, Singapura dan beberapa negara lain, dan dipisahkan dengan frasa ‘Hati-hati Beda Level’, yang diterjemahkan ramai seolah-olah negara lain tidak setanding Indonesia.
“Hormat jiran pun susah. Kami rakyat Malaysia suka menyokong jenama dari negara jiran di Asia Tenggara. Tetapi jika begini cara jiran menghargai kami, sudah tiba masanya untuk beralih kepada pilihan lain dan tahu nilai diri sendiri. Apakah jenama tempatan yang boleh kita sokong?” tulis seorang pempengaruh, Wan Emir Astar, yang juga suami kepada pelakon Malaysia, Mira Filzah, di Threads.
“Jom kembalikan kegemilangan kempen dahulukan barangan Buatan Malaysia,” tulis pengguna Threads dengan nama ‘akmalmuslim’, menyeru warga Malaysia agar menggunakan kuasa beli dengan menyokong produk tempatan.
Pengguna Threads dengan nama akaun ‘bibmisman’ pula berkata: “Boikot produk luar ini bukan pasal emosi kalah bola, tapi sebab isu penghinaan terhadap negara (Malaysia), lagu kebangsaan dan Agong kita”.
Walaupun Kahf sudah memadam hantarannya itu dan menyusulinya dengan permohonan maaf, ia tidak meredakan kemarahan warga siber Malaysia.
Seruan boikot tidak hanya menyenaraikan Kahf, tetapi juga jenama-jenama popular lain dari Indonesia.
Antaranya termasuk rangkaian restoran makanan segera, Richeese Factory; mi segera, Indomie dan Mi Sedap; kafe Kenangan Coffee; produk minuman Indocafe; santan Kara serta jenama kecantikan dan kosmetik, Wardah.
Jerebu memburuk tingkatkan ketegangan
Keadaan jerebu yang memburuk di Malaysia yang berpunca daripada pembakaran terbuka di Indonesia, telah memaksa sekolah ditutup, mengakibatkan masalah kesihatan, perniagaan dan kegiatan harian terjejas.
Ia meningkatkan lagi ketegangan dan gesaan boikot itu.
Pengkritik di Malaysia dan Indonesia mempersoalkan keseriusan pemerintah Indonesia dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan akibat pembakaran terbuka yang berulang hampir saban tahun.
Sikap pemerintah Indonesia yang dilihat berlengah untuk menyambut kesediaan negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura untuk menghulur bantuan menangani pembakaran terbuka itu, diburukkan lagi dengan kenyataan Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia, Encik Syahganda Nainggolan.
Kenyataannya bahawa Indonesia bukan saja menyumbang kepada pelepasan asap, malah turut membekalkan oksigen kepada negara jirannya terutama Malaysia dan Singapura, melalui kawasan hutan yang luas, pantas mengundang kritikan ramai.
“Kami bukan sekadar menghantar asap, tetapi apabila tiada asap, kami menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia juga datang daripada hutan-hutan kami,” katanya, seperti dipetik media Indonesia dan mengundang kecaman ramai.
Seruan boikot yang menggunakan cogan kata, ‘Maka Kami, Rakyat Malaysia’ yang diambil daripada ikrar dalam Rukun Negara itu, mencerminkan bagaimana ketegangan antara pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia kini melangkaui pertikaman lidah, sehingga turut mempengaruhi pilihan pengguna terhadap barangan harian.
Pertikaian itu menimbulkan persoalan sejauh manakah sentimen nasionalisme yang tersebar di media sosial boleh mempengaruhi hubungan dua negara jiran yang mempunyai ikatan budaya serta kepentingan ekonomi dan alam sekitar yang saling berkait.
Penganalisis ekonomi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur, berkata seruan boikot lazimnya bersifat sementara, namun berpotensi menjejas perdagangan dua hala, pelancongan dan peluang pekerjaan, sekiranya sentimen itu berlarutan.
Boikot berpotensi jejas sektor ekonomi lain
Menurutnya, kesan awal boikot lazimnya akan dirasai peniaga dan syarikat yang menjadi sasaran, sebelum berpotensi merebak kepada sektor ekonomi lain, terutama dengan kuasa membeli lebih 34 juta warga Malaysia sebagai antara yang tertinggi di rantau ini, dari sudut pembelian per kapita.
Walaupun boikot itu berpunca daripada sentimen pengguna, pemimpin kededua negara perlu memainkan peranan bagi memastikan perselisihan berkenaan tidak berpanjangan, ujar beliau.
“Apabila boikot berlaku, peniaga yang terlibat boleh mengalami kerugian dalam tempoh tertentu dan keadaan ini berpotensi mempengaruhi perdagangan dua hala.
“Saya berharap perkara ini tidak berpanjangan kerana Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan rapat, termasuk dari segi perdagangan, pelancongan dan pendidikan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Dr Mustazar berkata ketegangan antara pengguna media sosial kededua negara juga boleh menjejas keyakinan pelancong, sekali gus memberi kesan kepada sektor berkaitan seperti perhotelan dan ekonomi ‘gig’.
Menurutnya, kesan itu mungkin tidak besar pada peringkat awal, namun sentimen negatif yang berlarutan boleh mempengaruhi keputusan pengguna untuk melancong, membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan dari negara jiran.
Beliau berkata perselisihan di media sosial turut berisiko menyemarakkan kebencian dalam kalangan kelompok tertentu, sekali gus menjejas hubungan diplomatik dan pertukaran budaya yang turut menyumbang kepada kegiatan ekonomi.
“Walaupun kesannya mungkin sementara, sentimen seperti ini tetap boleh mempengaruhi ekonomi. Kita tidak mahu perselisihan yang bermula di media sosial akhirnya menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Dr Mustazar menambah, Malaysia dan Indonesia mempunyai kepentingan ekonomi dan perdagangan bersama, meskipun tahap kebergantungan Malaysia terhadap negara yang jumlah penduduknya hampir 300 juta itu, tidak terlalu besar.
Malaysia mengeksport sejumlah RM50 bilion ($15.72 bilion) ke Indonesia pada 2025, sementara nilai import Malaysia dari Indonesia sekitar RM61 bilion hingga RM64 bilion pada tempoh sama, kata beliau.
“Malaysia mengeksport pelbagai barangan ke Indonesia, termasuk bahan api, gas petroleum, mesin serta barangan elektrik dan elektronik, manakala perdagangan dua hala turut melibatkan besi dan keluli, bahan galian, kenderaan serta alat ganti,” jelasnya.
Menurutnya, perdagangan antarabangsa berasaskan kelebihan dan pengkhususan setiap negara, menjadikan hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Indonesia saling melengkapi dalam beberapa sektor.
Kelebihan bagi jenama tempatan
Apa yang menarik, seruan boikot itu dilihat memberi kelebihan kepada sesetengah jenama tempatan, apabila ramai pengguna memberi sokongan dan kian beralih kepada produk buatan Malaysia.
Antaranya, Pengasas dan Ketua Eksekutif syarikat penjagaan kulit The Raw, Cik Adibah Mazlan, berkongsi di media sosial bahawa perniagaan produk penjagaan kulit yang diusahakannya itu sebelum ini berdepan cabaran, dengan beberapa produk dijangka dihentikan pengeluarannya.
Namun, katanya, seruan belilah barangan tempatan yang semakin rancak ketika gerakan boikot produk negara jiran itu bermula telah membuatkannya terharu, terutama dengan sokongan pelanggan yang melonjak.
“Syukur sangat. Dengan rendah hati saya betul-betul berterima kasih kepada semua yang sokong dan prihatin tentang kami,” katanya sambil menjelaskan bahawa perniagaannya akhir-akhir ini mencabar kerana peningkatan kos dan persaingan sejagat.
Sementara itu, Encik Mohd Yusof Harun, 43 tahun, Pengasas jenama Peacemood, produk deodoran untuk lelaki dan wanita, menyifatkan gerakan boikot produk luar negara itu memberi hikmah kepada perniagaannya yang baru bermula pada September lalu.
Menurutnya, ketika melancarkan produk itu pada pertengahan September lalu di TikTok, hanya seorang atau dua penonton yang menyertai sesi siaran langsung jualannya.
“Alhamdulillah, sejak gerakan boikot itu bermula, jumlah pelanggan yang menonton sesi siaran langsung kami untuk jual produk cecah 1,600 orang, sehingga kakitangan saya yang membuat sesi langsung itu menangis kesyukuran.
“Idea produk ini dicetuskan pada 2023 berikutan gerakan boikot produk Israel, tetapi disebabkan kekangan kewangan, ia baru dilancarkan pertengahan September lalu.
“Tak sangka gerakan boikot ini menyebabkan jualan saya sold out (habis). Harap momentum ini berterusan,” katanya kepada BH.
Dalam pada itu, ketegangan di media sosial antara warga siber Malaysia dan Indonesia itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, dan Menteri Perdagangan Indonesia, Encik Budi Santoso.
Datuk Fahmi dilaporkan berkata pihaknya memahami kemarahan rakyat terutama dalam isu jerebu rentas sempadan yang telah menganggu kesejahteraan dan mencetuskan perbincangan hangat serta ketegangan di media sosial.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau perbincangan dalam talian berkait isu ini bagi mengelak ketegangan antara kededua negara terus meningkat,” katanya.
Encik Budi pula dilaporkan menyifatkan seruan boikot produk dari Indonesia sebagai tindakan sementara, dan mendapatkan perkembangan daripada Atase Perdagangan dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia.
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shazwan Mokhtar, mengingatkan bahawa Malaysia dan Indonesia perlu mengambil langkah awal bagi meredakan ketegangan di media sosial sebelum perselisihan itu melarat kepada tindakan fizikal.
Perlu elak ketegangan jadi tindakan fizikal
Beliau berkata peningkatan suhu perbalahan dalam talian tidak seharusnya dibiarkan sehingga keadaan menjadi lebih tegang, sebelum usaha mencari penyelesaian dilakukan.
“Kedua-dua negara tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi semakin panas sebelum mengambil tindakan. Kita mahu mengelakkan perselisihan ini daripada melarat kepada tindakan fizikal,” katanya.
Beliau berkata ketegangan sedemikian juga boleh memberi kesan kepada hubungan dua hala, termasuk apabila sentimen negatif mula menyasarkan kepentingan atau institusi negara jiran.
Menurutnya, hubungan Malaysia dengan Indonesia sebagai negara serumpun ibarat adik-beradik yang ada kalanya berdepan perselisihan, namun keadaan itu tidak seharusnya menghalang kedua-dua pihak daripada mencari jalan penyelesaian.
“Apa yang penting ialah bagaimana kedua-dua negara mengambil tindakan supaya perkara ini dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya kepada BH.
Dr Mohd Shazwan turut mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak mudah menerima atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, terutama ketika ketegangan antara kededua negara sedang meningkat.
Beliau berkata kandungan yang tular tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi kerajaan atau pandangan keseluruhan masyarakat Indonesia, memandangkan sebahagian naratif yang tersebar dibawa oleh pempengaruh media sosial.