KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius beberapa tuduhan yang disifatkan tidak berasas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra, Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah, berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam (UA) dan sedang meneliti prosedur perundangan sewajarnya.

KPT, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan kewibawaan kementerian itu, UA dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan tidak berasas.

Universiti Utara Malaysia (UUM), yang dikaitkan dengan tuduhan itu, turut membuat laporan polis berhubung dakwaan institusi pengajian tinggi awam (Ipta) negara membuka ‘pintu belakang’ untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak orang kaya yang tidak layak.

Laporan polis itu dibuat Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Encik Bakhari Che Mohamed Ariff, di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 15 Jun.

Laporan itu dibuat menyusuli kenyataan Dr Haim Hilman, yang juga mantan Naib Canselor UUM dan Exco Kerajaan negeri Kedah, ketika program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan baru-baru ini.

“KPT memandang serius beberapa tuduhan yang terus diulang Dr Haim Hilman, termasuk dakwaan kononnya UA pada masa kini sedang ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’ dan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Ipta melalui ‘pintu belakang’.

“Terkini ialah rakaman video ucapan beliau yang disiarkan melalui Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan, yang berlangsung pada 13 Jun 2026.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejas reputasi dan kebolehpercayaan keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk UA, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah.

“Perlu ditegaskan ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh Dr Haim Hilman terhadap KPT,” jelas kenyataan pada 15 Jun itu, lapor Malaysiakini.

KPT memaklumkan pihaknya sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.

“Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” tambah kenyataan itu.

Dr Haim Hilman yang dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang kesembilan pada 17 Januari 2022, telah dipendekkan perkhidmatannya sejak 18 Januari 2023 oleh KPT, selepas Lembaga Pengarah Universiti membuat laporan prestasi kepimpinan beliau.

Beliau, yang juga ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), kemudian menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Jitra, pada Pilihan Raya Negeri Kedah pada Ogos 2023, dan menewaskan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).