Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu kos sara hidup, kesesakan lalu lintas galak pekerja Johor di S’pura pulang mengundi
Isu kos sara hidup, kesesakan lalu lintas galak pekerja Johor di S’pura pulang mengundi
Pengamat: Banyak parti, gabungan bertanding dan margin menang atau kalah mungkin sangat tipis, jadikan setiap undi berharga
Isu kos sara hidup, kesesakan lalu lintas galak pekerja Johor di S’pura pulang mengundi
Kos sara hidup yang tinggi, kekurangan peluang pekerjaan, dan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru merupakan antara kebimbangan yang dikongsi sebilangan warga Johor yang bekerja di Singapura ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Untuk bekerja di Singapura bagi mendapatkan pendapatan lebih baik, warga Johor berkenaan menambah bahawa dengan adanya kerajaan yang tepat, isu-isu yang mereka hadapi itu mampu diperbaiki.
Justeru, dengan mengundi, mereka bukan sahaja memenuhi tanggungjawab masing-masing sebagai rakyat, malah turut memainkan peranan dalam memilih parti tepat yang dapat memenuhi keperluan serta mengurangkan kebimbangan mereka.
Warga Johor berkenaan dijangka pulang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza di seluruh negeri itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, dengan hari mengundi yang dijadualkan pada 11 Julai.
Pada 15 Jun, semasa mengadakan lawatan ke Muar, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menggesa warga Johor yang bekerja di luar negeri itu, terutamanya di Singapura, agar dapat pulang ke tanah air untuk mengundi dalam pilihan raya negeri tersebut.
Seorang pekerja sektor makanan dan minuman (F&B), Encik Razif S.M Ismail, 29 tahun, berkata:
“Saya akan pulang untuk mengundi kerana saya rasa undi saya penting untuk menentukan masa depan negeri Johor.
“Saya menyokong calon yang mempunyai perancangan jelas untuk meningkatkan ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup rakyat.”
Selain beliau, Cik Azlyana Aznan, 32 tahun, juga berkata bahawa setiap undi sangat berharga.
“Adalah tanggungjawab saya untuk tentukan siapa yang layak, dan untuk masa depan sepanjang tempoh lima tahun di peringkat negeri dan DUN.
“Saya akan pilih manifesto mana yang lebih relevan terutamanya dari segi peluang pekerjaan untuk anak muda, akses pengangkutan dan kebajikan masyarakat setempat, serta yang boleh turunkan kos sara hidup di bandar, selain perjuangkan isu-isu semasa,” kata Cik Azlyana yang telah bekerja dalam bidang pendidikan di Singapura selama setahun setengah.
Mengulas lebih lanjut tentang isu kos sara hidup dan pengangkutan, warga Johor yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Akmal berkata:
“Harga makanan dan harga rumah di JB (Johor Bahru) boleh tahan mahal. Sebagai seorang yang ulak-alik setiap hari menaiki pengangkutan awam, saya harap dapatlah disegerakan sistem LRT dan projek E-ART.
“Kita perlu pemimpin yang lantang untuk terus memperjuang isu ini kepada kerajaan Persekutuan.”
Encik Akmal akan pulang mengundi di DUN Sedili.
Projek Transit Aliran Automasi Bertingkat (E-ART) diusulkan sebagai penyelesaian utama bagi menyuraikan trafik di Johor Bahru apabila projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS), mula beroperasi pada 1 Januari 2027.
Selain itu, Encik Muammar Syah Zainudin, 40 tahun, yang telah bekerja di Singapura selama 11 tahun, melahirkan harapan agar isu seperti banjir dan bil elektrik yang meningkat dapat diselesaikan juga.
Lantas, pekerja F&B itu akan turut pulang ke DUN Johor Jaya bagi mengundi nanti.
Menurut pengamat yang dihubungi BH, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, berkata:
“Oleh kerana terdapat banyak parti dan gabungan yang bertanding di Johor, margin kemenangan atau kekalahan di beberapa kawasan pilihan raya – di mana sokongan politik terhadap setiap pihak didapati hampir seimbang – berkemungkinan adalah sangat tipis, sekali gus menjadikan setiap undi amat berharga.
“Peratusan keluar mengundi yang rendah berkemungkinan memberi kelebihan kepada parti penyandang, memandangkan mereka sudah mempunyai tahap sokongan asas yang sedia ada.
“Sebaliknya, peratusan keluar mengundi yang tinggi cenderung menguntungkan pihak pembangkang kerana penyokong mereka mungkin dapat digerakkan untuk menumbangkan parti penyandang.”
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya menjelaskan bahawa dengan mengadakan hari mengundi pada Sabtu, ia “secara relatifnya memudahkan pekerja di Singapura pulang mengundi, walaupun kesesakan di Tambak Johor dan kos perjalanan masih menjadi halangan”.
Menurutnya lagi, isu pengangkutan antaranya seperti sistem penyuraian trafik, tempat letak kereta, bas pengantara, dan kemampuan tambang RTS, yang dihadapi warga Johor yang bekerja di Singapura, mencerminkan dua naratif bertentangan.
“Barisan Nasional (BN) boleh berhujah bahawa masalah itu sedang ditangani melalui RTS Link, ART, penambahan bas, penyuraian trafik dan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Projek tersebut boleh dipersembahkan sebagai bukti kerajaan mempunyai rancangan jangka panjang.
“Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau parti lain boleh berhujah bahawa penyelesaian datang terlalu lambat, perancangan tidak cukup jelas dan kerajaan lebih banyak mengumumkan projek daripada memastikan sistem itu benar-benar berfungsi secara menyeluruh,” jelas Dr Awang Azman.
Beliau menambah, pengundi mungkin mengakui bahawa kerajaan telah melakukan sesuatu, tetapi tetap bertanya sama ada pelaksanaan itu cukup cepat, bersepadu dan mampu dimanfaatkan oleh rakyat biasa.
Oleh itu, seorang warga Johor yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Hafeez yang telah bekerja di Singapura selama lima tahun mencadangkan agar kerajaan Johor menaik taraf sistem pasport di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) menggunakan sistem pengesanan wajah.
“Ia sangat membantu rakyat yang bekerja di Singapura,” kata Encik Hafeez, pengundi DUN Kota Tinggi, yang menceburi bidang kesihatan.
