Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor gesa projek E-ART disegera sebelum RTS Link beroperasi
Johor gesa projek E-ART disegera sebelum RTS Link beroperasi
Johor gesa projek E-ART disegera sebelum RTS Link beroperasi
KULAI: Johor menggesa kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan projek Transit Aliran Automasi Bertingkat (E-ART) sebagai penyelesaian utama bagi menyuraikan trafik di Johor Bahru apabila projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS), mula beroperasi 1 Januari 2027.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah jangka pendek dan sederhana sedang dilaksanakan ketika ini termasuk memperluas kemudahan ‘Park and Ride’, melaksanakan pengurusan trafik pintar serta menyusun semula pergerakan bas, teksi dan e-panggilan (e-hailing) di JB Sentral hanya penyelesaian sementara.
“Jadi Yang Berhormat Menteri, ada satu projek yang masih perlu kita berikan tumpuan dan segerakan, iaitu projek E-ART,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan yang disempurnakan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, di Stesen Kereta Api Kulai pada 16 Jun.
Datuk Onn Hafiz berkata projek E-ART telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 2024, namun sehingga kini kerja fizikal belum dimulakan.
Menurut beliau, rakyat Johor masih menantikan garis masa pelaksanaan lebih jelas, khususnya mengenai tarikh projek berkenaan akan bermula.
“Persoalannya sekarang, bila projek ini akan dimulakan... orang Johor tertanya-tanya, bilakah kita boleh melakukan lawatan tapak bersama-sama bagi projek ini.
“Setakat saya faham, Letter of Award masih belum dikeluarkan. Sedangkan selepas kerja dimulakan sekalipun, projek ini dijangka mengambil masa antara empat dengan lima tahun untuk disiapkan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata keperluan mempercepat projek berkenaan semakin mendesak memandangkan RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands North dijadual mula beroperasi awal 2027.
Menurutnya, tanpa sistem pengangkutan awam bandar yang cekap dan berkapasiti tinggi, peningkatan pergerakan penumpang dari RTS Link dikhuatiri menambah tekanan pada rangkaian jalan raya di Johor Bahru.
Beliau turut membuat perbandingan projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang mempunyai siling bajet RM16.8 bilion ($5.29 bilion), dengan kerja fizikal telah dimulakan dan projek disasarkan siap penghujung 2031.
“Kita tumpang gembira kerana setiap negeri berhak menikmati kemudahan pengangkutan awam yang baik. Namun, kita juga berharap keperluan Johor diberikan perhatian dan keutamaan sama.
“Daerah Johor Bahru sahaja mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk, hampir menyamai keseluruhan penduduk Pulau Pinang. Johor Bahru juga pintu masuk antarabangsa utama negara dengan kadar pergerakan rentas sempadan yang sangat tinggi,” katanya.
Justeru, beliau berkata projek E-ART bukan semata-mata projek pembangunan, sebaliknya campur tangan penting Kerajaan Persekutuan yang akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
