Topik diikuti
Pergi ke BHku80% calon BN bagi PRN Johor pada Jul sudah dikenal pasti
80% calon BN bagi PRN Johor pada Jul sudah dikenal pasti
80% calon BN bagi PRN Johor pada Jul sudah dikenal pasti
JOHOR BAHRU: Kira-kira 80 peratus calon Barisan Nasional (BN) yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Julai sudah dikenal pasti dan sedang diperhalusi.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata senarai calon yang akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimanapun, masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan masih boleh berubah.
Menurutnya, sebarang keputusan pemilihan calon juga tidak diputuskan bersendirian dan perlu mendapat kelulusan Pengerusi BN, yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta pucuk pimpinan parti komponen.
“Dalam 80 peratus ini (senarai calon awal), semua boleh berubah, nothing is cast in stone until the day you got your watikah (tiada apa yang muktamad sehingga terima watikah), (kerana) ada yang (sebelum ini) pernah dapat watikah, kena tarik balik,” katanya.
Menjelaskan demikian pada sesi temu bual bersama media Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana pada 17 Jun, Datuk Onn, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, berkata kriteria pemilihan calon adalah pelbagai.
Menurutnya, ia antara merangkumi latar belakang pekerjaan, tidak terhad kepada sesuatu peringkat usia serta harus dikenali di kawasan DUN yang bakal ditandingi.
“Calon itu mestilah orang tempatan, dikenali di kawasan dan mesti diterima masyarakat.
“Maksudnya, seperti yang Pengerusi BN cakap, calon winnable (boleh menang). Bagi saya, tua, muda bukan faktor.
“Dari segi calon, dia mesti boleh berkhidmat untuk rakyat, tidak guna ada orang muda bertenaga, tetapi dia tidak boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata pengundi muda dan mereka yang baharu kali pertama mengundi adalah segmen yang sangat penting dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri.
“Mereka yang berusia bawah 40 tahun mewakili antara 20 dengan 40 peratus jumlah penduduk keseluruhannya (di Johor), tetapi kebanyakannya mewakili rakyat kita sudah buat engagement (mendekati penduduk) dan saya rasa mereka tahu kita bergantung pada pengundi muda ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Johor, termasuk mereka yang bekerja di Singapura supaya menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai ini.
Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz turut menasihati individu tidak terpilih sebagai calon supaya terus istiqamah dengan perjuangan parti dan kekal teguh dengan meletakkan rakyat sebagai matlamat utama perjuangan mereka.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.
