Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu Pedra Branca: Mahathir dakwa 3 mantan menteri bohong

Dec 17, 2024 | 2:31 PM
Mantan Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, nafi keputusan mengenai kedaulatan Pedra Branca diputuskannya sendiri, sebaliknya menegaskan ia dibuat secara bersama dalam Mesyuarat Kabinet.
Mantan Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, nafi keputusan mengenai kedaulatan Pedra Branca diputuskannya sendiri, sebaliknya menegaskan ia dibuat secara bersama dalam Mesyuarat Kabinet. - Foto MALAYSIAGAZETTE

PUTRAJAYA: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiga bekas menteri Kabinetnya berbohong mengenai keputusan berkaitan tuntutan kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Tun Mahathir menambah bahawa beliau berasa malu mengenai kenyataan tiga mantan menteri itu – mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; mantan menteri pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan mantan menteri pengangkutan, Encik Anthony Loke.

Beliau mendakwa bahawa salinan minit mesyuarat Kabinet bertarikh 23 Mei 2018 berhubung keputusan Jemaah Menteri mengenai kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesahkan ia adalah keputusan secara bersama.

“Minit mesyuarat Kabinet menunjukkan dakwaan yang dibuat oleh tiga (mantan) menteri itu tidak benar.

“Sepatutnya mereka juga kena panggil (siasat), entah macam mana minit Kabinet dibocorkan dan ia menunjukkan betul bahawa dakwaan yang dibuat tiga orang menteri itu tidak benar dan bohong.

“Saya rasa malu kerana mereka duduk di bawah pentadbiran saya dahulu tetapi berbohong,” katanya kepada media selepas pelepasan Misi Kemanusiaan Pascabanjir ke Kedah dan Perlis di Putrajaya pada 17 Disember, lapor Malaysia Gazette.

Tun Mahathir berkata demikian semasa mengulas kenyataan Datuk Wan Azizah, Datuk Mohamad dan Encik Loke dalam satu kenyataan bersama yang mendakwa beliau tidak merujuk kepada Jemaah Menteri berhubung keputusan tidak meneruskan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu kedaulatan Pedra Branca, yang dibuat pada 21 Mei 2018.

Pada 2008, ICJ dalam keputusannya memberi kedaulatan Pedra Branca kepada Singapura.

Tiga mantan menteri itu mendakwa pendirian tidak meneruskan semakan dan tafsiran keputusan ICJ itu dimaklumkan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, iaitu sebelum mesyuarat pertama Kabinet diadakan.

Tun Mahathir sebelum ini mempersoalkan kenyataan tiga bekas menteri itu dengan mendakwa beliau membawa pendapat untuk tidak meneruskan semakan ke atas keputusan ICJ itu bagi diputuskan bersama jemaah Kabinet dan ia bukan keputusan beliau sahaja.

Isu ini menyusuli laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang dinyahklasifikasi dan dikeluarkan pada 5 Disember, yang mendedahkan bahawa Tun Mahathir, semasa tempoh keduanya menjadi perdana menteri, membuat keputusan secara sepihak untuk menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ itu.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Tun Mahathir bagi keputusan sepihak yang dibuat beliau yang menyebabkan Malaysia kehilangan hak ke atas Pedra Branca.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg