Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pedra Branca: Tiga mantan menteri dakwa Mahathir buat keputusan sendiri

Nafi isu tarik balik permohonan semak keputusan ICJ dirujuk kepada Jemaah Menteri
Dec 12, 2024 | 4:20 PM
Keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat sendiri mantan Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum mesyuarat Kabinet yang pertama diadakan pada 2018.
Keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat sendiri mantan Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum mesyuarat Kabinet yang pertama diadakan pada 2018. - Foto fail BERNAMA

Selepas mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan dua bekas anggota Kabinetnya mendakwa wujud perbincangan dalam Jemaah Menteri sebelum keputusan mengenai kedaulatan pulau Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat, tiga lagi mantan anggota Kabinetnya mengeluarkan kenyataan bertentangan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Encik Anthony Loke, dalam satu kenyataan bersama mengatakan Dr Mahathir, ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 2018, membuat keputusan sendiri pada 21 Mei secara bertulis kepada Peguam Cara Negara, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.

Keputusan Dr Mahathir – yang ketika itu menerajui Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – menarik balik permohonan bagi menyemak dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan Pedra Branca kepada Singapura dimaklumkan kepada republik itu pada pagi 23 Mei 2018.

Mereka mengeluarkan kenyataan tersebut pada 12 Disember selepas Dr Mahathir mendakwa ketiga-tiga pemimpin parti PH itu tidak mengemukakan sebarang bantahan apabila isu tersebut dibawa ke Kabinet.

“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.

“Ingin kami tekankan di sini, ia hanyalah ‘pemakluman’ di bawah agenda ‘Hal-hal lain’ dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.

“Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Dr Mahathir,” ujar kenyataan itu.

Dr Mahathir berdepan tuduhan sebagai pengkhianat negara kerana didakwa membuat keputusan menarik balik permohonan berkaitan keputusan ICJ pada 2008 itu secara sepihak.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan – yang telah dinyahklasifikasi dan diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Disember – mendedahkan kepincangan kepimpinan Dr Mahathir dalam isu pertikaian Pedra Branca.

RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Terdahulu, selepas Dr Mahathir menafikan dakwaan beliau membuat keputusan itu tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri, dua mantan menteri Kabinet PH, Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Datuk Zuraida Kamaruddin, mengatakan kertas Kabinet berkaitan isu Pedra Branca ada dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu.

RCI itu dibentang dan dibahaskan di Parlimen Malaysia pada 12 Disember.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan tindakan Dr Mahathir seperti “mengheret orang lain lemas bersama” apabila beliau mengaitkan mantan anggota Jemaah Menteri ketika pentadbirannya berhubung pengendalian pertikaian kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas. Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai. Begitulah keadaan beliau (Dr Mahathir),” dakwanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg