Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu pencahayaan Lebuhraya Pasir Gudang dijangka selesai April 2026

Nov 6, 2025 | 12:58 PM
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Lebuhraya Pasir Gudang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Lebuhraya Pasir Gudang. - Foto FACEBOOK MBPG

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memberi jaminan bahawa usaha menangani isu pencahayaan jalan serta pelaksanaan Projek Naik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) sedang dilaksanakan dengan penuh komitmen bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terus terjamin.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil, berkata beliau juga telah mengadakan lawatan tapak ke FT17, berhadapan Petron Masai Utama, pada 30 Oktober 2025, bagi meninjau perkembangan semasa kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

Tambahnya projek ini berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kini telah mencapai 66 peratus kemajuan fizikal. Ia merupakan salah satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan mutu serta keselamatan infrastruktur jalan utama di Pasir Gudang.

“Antara perkara yang turut dibincangkan semasa lawatan tersebut ialah pelaksanaan lampu solar di kawasan strategik, perancangan untuk menghidupkan lampu jalan baru menjelang Mac atau April 2026, serta penggunaan lorong perlahan (slow lane) bagi kenderaan berat sepanjang tempoh pembinaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Datin Paduka Hazlina turut menyarankan agar semua pihak terlibat memastikan kerja dilaksanakan dengan kemas dan siap mengikut jadual yang telah ditetapkan, demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Walaupun projek ini di bawah bidang kuasa JKR, MBPG sentiasa komited membantu dan bekerjasama dengan agensi pelaksana bagi memastikan kelancaran projek dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Datin Paduka Hazlina turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan projek berimpak tinggi itu dapat memberi manfaat besar kepada warga Pasir Gudang serta menyumbang kepada pembangunan bandar raya yang lebih mampan dan dinamik.

Dalam pada itu, Datin Paduka Hazlina memaklumkan bahawa MBPG kini telah memperoleh pengiktirafan sebagai Bandar Pintar Tahap 1 (Early Adopter) dan sedang bergerak ke arah Tahap 2 (Developing Smart City), melibatkan 35 indikator utama yang perlu dipenuhi di bawah Penarafan Bandar Pintar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata pengiktirafan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBPG dalam memperkukuh agenda transformasi digital bandar raya, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan bandar pintar yang mampan, berdaya huni dan selamat.

Menurutnya, MBPG akan menghantar pegawai serta kakitangan berkaitan untuk menimba pengalaman dan amalan terbaik daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang telah berjaya mencapai pengiktirafan Bandar Raya Pintar Tahap 3 (Leading Smart City) melalui penilaian yang sama oleh KPKT.

“Kita akan memperkukuh pelaksanaan inisiatif bandar pintar ini dengan meningkatkan penggunaan teknologi, memperluas sistem digitalisasi serta memperkukuh penglibatan masyarakat dan industri tempatan.

“MBPG yakin bahawa melalui kerjasama dan perkongsian ilmu dengan pihak MBJB, kita dapat mempercepat kemajuan ke arah pembangunan bandar raya pintar sepenuhnya,” katanya.

Datin Paduka Hazlina turut menegaskan bahawa MBPG akan terus memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal memperkukuh kedudukan Pasir Gudang sebagai hab industri, logistik dan pelabuhan antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg