Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor peruntuk RM2 juta sasar 2 sungai tercemar pulih jelang 2027

Oct 27, 2025 | 1:30 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (kedua dari kiri), bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil (kanan), membuat bebola mikrob pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 Peringkat Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (kedua dari kiri), bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil (kanan), membuat bebola mikrob pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 Peringkat Johor. - Foto FACEBOOK MBPG

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan RM2 juta ($615,367) kepada usaha menambah baik mutu air, sekali gus memulihkan Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di sini yang juga antara sembilan sungai tercemar di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata dua sungai itu disasarkan dapat dikeluarkan daripada kategori tercemar dalam tempoh dua tahun menerusi usaha bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Penambahbaikan itu antaranya merangkumi kerja penggalian dasar sungai, pembinaan stesen auto-dosing Effective Microorganisms (EM), pembekalan EM bagi rawatan meningkatkan mutu air serta inisiatif Rangka Kerja Bandar Karbon Rendah (LCCF) bersama pihak industri.

“Projek berkenaan bermula sejak September dan dijangka siap Disember dengan status pelaksanaan mencapai 70 peratus setakat ini.

“Dua sungai ini akan menjadi permulaan (usaha meningkatkan mutu air). Jika berjaya, kita akan cuba bawa inisiatif ini ke sungai lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 Peringkat Johor pada 26 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Selain usaha itu, Encik Ling berkata kadar pelepasan karbon oleh pihak industri turut dipantau MBPG menerusi penilaian tenaga elektrik, penggunaan dan penjagaan air sisa serta penghijauan kawasan industri.

“Pemantauan mutu air dan udara secara masa nyata akan dilaksanakan bagi mengawasi kualiti air sungai dan udara dalam kawasan pentadbirannya,” ujarnya.

Beliau berkata beberapa lokasi strategik termasuk kawasan aduan pencemaran, titik panas dan lokasi yang berisiko tinggi serta sensitif terhadap pencemaran juga telah dikenal pasti.

Katanya, JAS akan turut memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan di lokasi terlibat, termasuk memastikan pelepasan air sisa industri ke dalam sistem perparitan berdasarkan syarat ditetapkan.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan Johor komited memulihkan mutu air di semua sembilan sungai terlibat dan menggesa semua pihak untuk bekerjasama memelihara dan memulihara alam sekitar.

Sementara itu, Encik Ling dalam satu kenyataan turut memaklumkan JAS Johor akan bekerjasama rapat dengan MBPG dan agensi teknikal lain bagi memperkukuh kawalan terhadap sumber pencemaran, terutama di kawasan perindustrian Pasir Gudang melalui Program Pemantauan dan Penguatkuasaan Bersepadu

“JAS Johor memastikan setiap premis industri mematuhi syarat pelepasan efluen, kawalan sisa buangan berjadual dan pengurusan pencemaran udara bagi melindungi kesihatan awam serta ekosistem setempat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg