KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Machang, Encik Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai.
Ini menyusuli dakwaannya mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas usul menggantung beliau mendapat sokongan majoriti AP – 110 bersetuju dan 63 tidak bersetuju manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Usul berhubung penggantungan Encik Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, lapor Berita Harian Malaysia.
Ia, dibentangkan oleh AP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul bagi persidangan Dewan Rakyat.
Usul itu menyatakan Encik Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian kepada surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadunya dan kesahihan maklumatnya.
Ia memberi kesan buruk bukan kepada individu yang didakwa sahaja, bahkan secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.
Dakwaan Encik Wan Ahmad Fayhsal juga disifatkan sebagai satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus lumus membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia.
Beliau juga dianggap mengeluarkan kenyataan dan dakwaan serius serta bertindak membangkitkan perasaan menentang kuasa kerajaan.
Datuk Azalina berkata, Encik Wan Ahmad Fayshal, sepatutnya membangkitkan perkara itu melalui saluran rasmi.
“Kita bertanggungjawab ke atas kenyataan kita. Kalau rujuk dokumen rasmi, kerajaan tidak ada isu. Tetapi jangan gunakan surat layang kerana ia akan membuka pintu kepada semua Ahli Parlimen untuk menggunakan surat layang,” katanya selepas perbahasan itu, lapor The Star.
Datuk Azalina menegaskan bahawa adalah penting untuk berdebat menggunakan fakta.
“Jika Machang memohon maaf atas tindakannya, tidak ada isu kerana beliau melayakkan kenyataannya. Tetapi beliau duduk dan membiarkan perkara itu menjadi tular seolah-olah Parlimen menyokong apa yang Machang katakan.
“Siapa yang membela pegawai kerajaan di luar? Hanya kerana kita Ahli Parlimen, jangan bertindak seperti kita terkecuali daripada tindakan undang-undang,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg